ZULKIFLI NAK JUMPA EBIT LEW

Last Updated on

Oleh Syed Azwan Syed Ali

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Zulkifli Al-Bakri menjemput pendakwah terkenal Ebit Lew, yang kontroversi berikutan isu pemberian bantuan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), untuk bertemu dengannya.

Zulkifli berkata pertemuan yang turut dipanjangkan kepada pihak lain yang berkaitan itu, bertujuan mencari penyelesaian terbaik bagi urusan bantuan kepada umum yang menjadi polemik rakyat, termasuk umat Islam.

Katanya, pemberian bantuan boleh dilakukan secara sembunyi atau terbuka berdasarkan kepada keadaan.

“Saya mengambil kesempatan di sini dengan mengajak semualah, kepada sahabat-sahabat kita termasuk Ebit Lew supaya boleh bertemu dengan saya untuk sama-sama kita bincang ke arah yang lebih baik lagi sebab perkara yang baik itu sudah tentu akan ada ujian dan cabaran.

“Saya harap beliau bersabar… InshaAllah, keadaan yang lebih harmoni berlaku dengan sebaik-baiknya bagi semua pihak. Kepada yang bertanya, tak puas hati, di sini mungkin (terjadi) kerana isu-isu yang tidak kita dapat selesaikan dengan baik.

“InshaAllah, mengambil semangat Ramadan Al-Mubarak dengan hati terbuka, marilah kita bermaaf-maafan. Kita buang yang keruh dan ambil yang jernih dengan niat untuk membantu saudara-saudara kita,” katanya kepada AlHijrah Online di Pusat Penyiaran Digital TV AlHijrah, Kompleks Pusat Islam di sini hari ini.

Ebit Lew menjadi kontroversi umum apabila ada pihak tidak menyenangi dan menegur pendakwah terkenal itu berhubung cara beliau menyampaikan bantuan kepada golongan susah dan menayangkannya melalui media sosial.

Video pemberian bantuan yang tular itu dikatakan tidak sesuai dan boleh menimbulkan aib pihak dibantu. Bagaimanapun, majoriti rakyat Malaysia menyokong tindakan Ebit Lew itu.

Zulkifli berkata bersedekah atau memberi bantuan secara terbuka atau sembunyi adalah dibolehkan.

“Berkenaan dengan sedekah sama ada baik secara sembunyi atau terang, masalah ini dalam al-Quran dan nas menyebut dua perkara, sama ada bersembunyi boleh atau terang-terangan pun boleh. Yang paling penting antara kedua-duanya adalah keikhlasan.

“Begitu juga jangan mengungkit-ngungkit dan menyebabkan dia (orang dibantu) merasa malu dan rasa tak selesa,” kata menteri agama itu.

Mengulas lanjut, Zulkifli berkata, bantuan secara terbuka itu seharusnya dilakukan dengan tujuan supaya kebaikan itu diikuti.

“Seolah-olah dengan sebab pemberian secara terang-terangan ini, maka dia menjadi galakan kepada yang lain. Maka ini adalah satu perkara yang baik. Sekurang-kurangnya dalam zaman sekarang ini dari segi  integriti kerana bimbang kalau buat senyap, orang akan kata bantuan tak sampai atau ambil duit itu sendiri atau seumpamanya.

“Jadi bila tunjuk walaupun secara umum, sekurang-kurangnya menafikan perasaan tak puas hati itu, maka di sini juga penting tetapi betulkan niat dan begitu juga cuba selaraskan dengan badan berautoriti supaya tidak timbul lagi perkara (syak) wasangka,” katanya.

Zulkifli juga menasihatkan kepada semua pihak, individu atau badan bukan kerajaan (NGO), berhubung dengan pihak berkuasa negeri atau persekutuan bagi memastikan bantuan dapat diselaraskan.

“Kami di JPM (Jabatan Perdana Menteri) terbuka dan sedia bekerjasama dengan ruang lingkup mematuhi SOP (Prosedur Operasi Standard) MKN (Majlis Keselamatan Negara) dan prosedurnya.

“Kita bimbang apa yang kita lakukan mungkin tidak bersamaan dengan badan berautoriti negeri masing-masing. Jadi bila kita boleh selaraskan dengan memaklumkan kepada mereka sekurang-kurangnya tindakan itu sealiran, bersekali atau bersepadu. Sasaran (bantuan) yang hendak disampaikan itu disampaikan kepada yang berhak dan yang lain juga tidak dinafikan,” katanya.

Ditanya mengenai gerak kerja Baitulmal dan badan zakat negeri ketika PKP, Zulkifli memuji pihak terbabit di atas kepedulian dan kecaknaan membantu kelompok terjejas akibat kesan COVID-19. – AlHijrah Online

4 comments

  • Sharifah alhabshi

    Ada pulak pihak yang tidak menyenangi dan menegur pendakwah. Masyaallah! Orang tu buat kerja baik kerja amal. Tolong orang susah. Puasa puasa ni insaflah. Sudah sudahlah nak fikir buruk kat orang. Buang sikap buruk hasad dengki.

  • Tabiat orang kita melayu (segelintir) klu tidak mengata berburuk sangka tidak berasa tenang dan tenteram hati mereka tak kira dia ustaz kah imam kah orang awam kah atau apa pun dia.. hasad tu masih tetap saja ada.. astaghfirullah..

  • Wartawan tak ada adap langsung panggilan Ke atas ulama Dato Dr Zulkifli hanya dengan panggilan Zulkifli jer. tengokk nama penulis Sywd Azwan Syed Ali macam islam atau nama jer islam ke aper?

    • salam. terima kasih atas teguran. pun begitu ia bukan soal adab tetapi penulisan berita di mana pengulangan kali kedua adalah nama sahaja. Gelaran termasuk Tan Sri, dato, haji, hajah, ustaz etc tidak digunakan (pengulangan ke2). Salam Ramadan dan selamat berpuasa. Terima kasih.

Leave a Reply