MALAYSIA TERBUKA UNTUK DAGANGAN ANTARABANGSA

KUALA LUMPUR: Malaysia masih terbuka untuk dagangan antarabangsa walaupun sebahagian besar pintu sempadan negara masih ditutup.

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, terdapat banyak peluang untuk membangunkan semula ekonomi dan masyarakat ke tahap yang lebih baik berbanding era prapandemik.

“Cadangan nilai kami kepada pelabur adalah kukuh: ekosistem pelaburan kami teguh, kemudahan menjalankan perniagaan bertambah baik, pemulihan pandemik sedang dijalankan, infrastruktur fizikal dan digital kami sentiasa dinaik taraf.

“Selain itu, kumpulan bakat kami luas dan mendalam, kekuatan institusi kami adalah kukuh, asas ekonomi kami cemerlang dan diiktiraf di peringkat global,” katanya pada majlis jamuan makan tengah hari bersama lebih 30 pemain industri antarabangsa di Ekspo Dubai, hari ini.

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara Tan Sri Muhyiddin Yassin pada majlis jamuan makan tengah hari bersama lebih 30 pemain industri antarabangsa di Ekspo Dubai, hari ini.

Tambah beliau Pelan Pemulihan Nasional 2.0 juga akan dirangka yang akan memacu Malaysia ke tahap lebih baik berbanding sebelum pandemik.

Pelan tersebut merupakan kesinambungan daripada empat fasa Pelan Pemulihan Nasional sebelum ini.

Muhyiddin berharap dengan usaha yang diambil kerajaan lebih banyak perniagaan bakal melabur di Malaysia dan syarikat tempatan pula mampu meneroka peluang bukan sahaja di Emiriah Arab Bersatu (UAE) tetapi merentasi Majlis Kerjasama Teluk (GCC).

“Ayuh kita bersama-sama menempa kejayaan untuk masa depan yang lebih bermakna bukan sahaja ketika pandemik tetapi dalam fasa endemik dan seterusnya.

“Kerja keras menanti kita. Pilihan di tangan kita, berdiri bersama atau jatuh bersendirian,” katanya. – AlHijrah Online

Leave a Reply