MUSAADAHCOVID19: LEBIH 200,000 UMAT ISLAM DIBANTU – ZULKIFLI

Last Updated on

KUALA LUMPUR: Lebih 200,000 umat Islam di seluruh negara menerima bantuan melalui misi MusaadahCovid19 sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac dan April lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, bantuan berjumlah RM132 juta dibelanjakan agensi-agensi agama di JPM (Hal Ehwal Agama) itu, turut membabitkan lebih 2,000 penerima bukan Muslim.

Katanya, bantuan kepada bukan Muslim itu termasuk 15 keluarga dari Desa Mentari Petaling Jaya.

“Saya mendapat kiriman mesej sahabat saya, Reverend Jonathan Jesudas dari Tamil Methodist Church Petaling Jaya tentang 15 keluarga bukan Muslim di Desa Mentari, PJ yang memerlukan bantuan barangan asas dalam tempoh PKPB. ⁣

“Alhamdulillah, pada hari ini (semalam) saya dimaklumkan bantuan khusus daripada JPM (Hal Ehwal Agama) telah sampai kepada mereka melalui NGO yang telah diamanahkan untuk menyampaikan bantuan tersebut,” kata Zulkifli dalam entri di Facebook beliau.

Zulkifli berkata dalam soal bantuan kemanusiaan, pihaknya bersikap “buta” agama, bangsa dan warna kulit.

“Itulah semangat rakyat Malaysia. Moga kita sama-sama dapat mengharungi ujian ini hingga pengakhirannya,” katanya.

Kerajaan menguatkuasakan PKP sejak 18 Mac lalu sebelum melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dari 4 Mei hingga 9 Jun bagi membendung penularan wabak COVID-19. — AlHijrah Online

Leave a Reply