MUSIM HAJI: TARIKH AKHIR JEMAAH LUAR NEGARA TUNAI UMRAH IALAH 7 JUN 2024

Sumber Gambar: AFP

JEDDAH: Jemaah umrah dari luar negara perlu menyelesaikan ibadah mereka dan meninggalkan Arab Saudi selewat-lewatnya pada 29 Zulkaedah 1445H atau 7 Jun 2024.

Kementerian Haji dan Umrah dalam kenyataan berkata, arahan itu untuk persediaan musim haji dan memastikan kelancaran perjalanan jemaah haji ke kota suci Makkah dan Madinah bagi musim 1445H.

Kenyataan tersebut dikeluarkan bagi menjawab beberapa pertanyaan dan kekeliruan orang awam berkaitan tarikh akhir untuk menunaikan ibadah umrah.

Ia susulan laporan awal bahawa tarikh akhir pemegang visa umrah memasuki Arab Saudi tahun ini ialah pada 15 Zulkaedah 1445 atau 24 Mei dan sah visa umrah adalah tiga bulan dari tarikh pengeluarannya, bukannya tarikh kemasukan ke negara tersebut.

Berdasarkan kenyataan hari ini, Kementeriaan Haji dan Umrah menjelaskan tempoh visa umrah jemaah asing selama 90 hari adalah bermula dari tarikh kemasukan mereka ke negara itu.

Dalam pada itu Arab Saudi menegaskan tidak akan ada lanjutan visa umrah selepas tamat tempoh 90 hari dan visa umrah juga tidak boleh ditukar kepada visa lain.

Permohonan untuk mendapatkan visa umrah boleh dibuat melalui platform elektronik yang diluluskan untuk perkhidmatan umrah bagi individu, dengan melayari pautan https://nusuk.sa/ar/partners .–AlHijrah Online

Leave a Reply