COVID-19: ANTARA PALESTIN, SYRIA DAN MALAYSIA

Kali terakhir saya masuk ke Gaza adalah pada Oktober 2014. Antara kisah yang benar-benar terpahat di ingatan adalah kunjungan ke rumah seorang doktor di Khan Younis, Gaza, Palestin.

Dari Gaza City kami bergerak ke selatan Gaza untuk ke Khan Younis. Jelas di ingataan saya, bagaimana kami melalui kawasan yang mempunyai elektrik hinggalah ke kawasan penempatan yang gelap gelita.

“Maafkan saya… kawasan kami tiada elektrik malam ini,” kata doktor itu mengajak kami naik ke rumahnya terletak di tingkat atas pangsapuri itu.

Saya masih ingat bagaimana doktor dari sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu, mengangkat bateri kereta yang diletakkan di penjuru rumah, lalu digunakan sebagai bekalan kuasa elektrik di rumahnya.

Malam itu saya bersama seorang lagi sukarelawan Malaysia dijamu makan malam yang dimasak isterinya dalam lampu mentol yang kadang-kadang berkedip-kedip kerana elektrik tidak stabil.

Jujurnya, di waktu itu saya menangis di dalam hati… Bayangkan, ini rumah seorang doktor, bagaimana pula keadaannya rakyat marhaen di bawah sana.

Itulah hakikatnya di wilayah yang dikepung rejim zionis Israel itu. Gaza sejak dari 2007 hanya mempunyai bekalan elektrik terhad antara empat hingga enam jam sehari. Difahamkan situasi sama masih berterusan di wilayah konflik itu.

Dalam kebimbangan kita di Malaysia dengan wabak COVID-19, sering saya terbayang bagaimana keadaan saudara-saudara kita di Gaza yang dikepung dan wilayah Tebing Barat yang dijajah rejim zionis laknatullah.

Khamis lalu, rejim Israel menyita khemah-khemah yang akan diguna warga Palestin untuk membina klinik dan penempatan kecemasan bagi COVID-19 di sebuah perkampungan di utara Lembah Jordan.

Namun berapa ramai yang sedar akan insiden menyedihkan ini, ketika ada dalam kalangan kita yang terlalu sibuk menulis, menyebarkan berita palsu tentang wabak COVID-19.

Catatan ini bukan berniat untuk menyalahkan mana-mana pihak. Kita faham semua dalam keadaan tertekan, terutama dari segi mental, selepas genap 14 hari berada di rumah kerana mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang terpaksa dilaksanakan kerajaan bagi membendung wabak ini.

Apa yang penulis cuba sampaikan ialah kebimbangan kita memang berasas. Pun begitu keadaan kita adalah jauh lebih beruntung jika dibandingkan dengan nasib saudara-saudara kita di bumi Syam, termasuk di Palestin dan Syria.

Setakat Ahad lalu, Palestin mencatatkan 104 kes jangkitan COVID-19, termasuk sembilan kes di wilayah Gaza yang dikepung.

Sama ada di Gaza mahupun di Tebing Barat, nasib warga Palestin berada dalam kritikal kerana mereka di bawah penjajahan rejim zionis yang tidak berhati perut.

Lebih-lebih lagi di Gaza yang dikepung apabila ia terpaksa bergantung kepada bantuan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk membina pusat kuarantin (sekolah yang ditukarkan menjadi pusat kuarantin) di sempadan Rafah antara Mesir dan Gaza.

Gaza sejak dari dulu mempunyai infrastruktur kesihatan dan bekalan perubatan terhad dan sebarang pergerakan keluar dan masuk dikawal di sempadan dikawal Mesir dan rejim zionis Israel.

Keadaan diburukkan lagi dengan bekalan elektrik yang tidak stabil dan kepadatan dua juta penduduk Palestin yang mendiami wilayah Gaza yang ukurannya hanyalah sebesar satu per dua dari negeri Perlis.

Bayangkan, bagaimana dalam keadaan serba kurang dengan kepadatan penduduk yang tinggi dalam wilayah sekangkang kera itu akan berdepan dengan penularan wabak COVID-19 tanpa pertolongan kita semua?

Kita dibesarkan dengan ajaran bahawa umat Islam itu bersaudara. Ibarat dicuit peha kiri, peha kanan akan terasa.

Tanpa mengenepikan kebimbangan kita di sini, saya terbayang bagaimana jika wabak ini menular di khemah-khemah padat pelarian di Palestin, Syria, Yaman, kem pelarian Rohingya di Bangladesh dan wilayah umat Islam yang bergolak lain.

Allahu, kami hanya mampu menadah tangan kepada-MU untuk dijauhkan wabak ini dari saudara-saudara kami di sana.

Tengah hari tadi saya menerima beberapa keping gambar dari saudara Palestin yang berada di Malaysia.

Gambar itu menunjukkan seorang anak muda memakai facemask dengan kufiah Palestin mengagihkan makanan kepada anggota polis di beberapa chekpoint di sekitar Jalan Ampang, termasuk berdekatan Kedutaan China.

 “Itu anak saya, Mohammed. Kami hanya mahu menyatakan terima kasih kepada anggota polis yang bertugas di waktu-waktu sukar ini,” kata Duta Besar Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali kepada AlHijrah Online hari ini.

Duta Palestin itu memberitahu, kurma majul dan kuih muih Palestin yang dimasak isterinya itu, bukan sumbangan besar tetapi sekadar penghargaan kepada anggota barisan hadapan yang bertugas.

“Kami warga Palestin sudah biasa dengan sekatan di bawah penjajahan Israel. Tetapi apa yang membezakan adalah sekatan pihak polis di sini bukannya untuk melakukan penindasan seperti dilakukan ke atas kami warga Palestin.

“Sekatan jalan raya ini dilakukan untuk memastikan kita semua sihat dan selamat dalam mengekang wabak ini. Ia untuk menjaga kita,” kata Walid.

Jujurnya, saya amat tersentuh dengan “gesture” kecil warga Palestin ini yang membuktikan betapa kebaikan harus dilakukan pada kadar dan waktunya tanpa sebarang sebab.

Pertolongan seharusnya diberikan bukan kerana sokongan atau undi, pertolongan harus diberi ketika ia diperlukan tanpa mengira kedudukan, agama, bangsa dan warna kulit seseorang individu.

Hal ini juga turut diterjemahkan dalam inisiatif MusaadahCOVID19 yang digerakkan agensi-agensi agama di negara ini untuk membantu golongan asnaf dan kelompok yang terjejas akibat COVID-19.

Tabung MusaadahCOVID19 bukan hanya untuk orang Islam, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Penulis percaya dalam mana-mana situasi pun, mencari kesalahan adalah mudah tetapi yang lebih penting bagaimana kita sama-sama membetulkan kesilapan itu dengan menegur tanpa prejudis partisan.

Menurut biar berakal, menegur biar pintar.

Berbalik kepada nasib saudara kita di Syam, termasuk di Palestin dan Syria, hakikatnya mereka amat memerlukan kita ketika ini.

Adalah mustahil untuk kita ke wilayah konflik itu dalam situasi sukar COVID-19, namun banyak jalan untuk membantu.

Ada banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk Viva Palestina, Aman Palestin, Mercy Malaysia, IMARET, Malaysian Relief Agency (MRA), Muslim Volunteer Malaysia, Syria Care, Cinta Syria Malaysia, Cinta Gaza Malaysia, MAPIM, Muslim Care dan Global Peace Mission yang sedang berusaha untuk membantu saudara-saudara kita di sana. (Boleh layari Facebook NGO-NGO di atas untuk membantu)

Hakikatnya, mungkin kita semua terlupa akan nasib saudara kita di wilayah yang bergolak ini dari Palestin hingga ke Syria, tetapi mereka tidak sesekali melupakan kita, saudara seakidah mereka.

Barangkali, rakaman doa dari Syam (pelarian Syria di Idlib mendoakan rakyat Malaysia dijauhi COVID-19 dari khemah daif) ini membuktikan segala-galanya. – AlHijrah Online

Penulis adalah Editor Berita & Penerbit AlHijrah Media Corporation.

Penafian: Artikel yang disiarkan AlHijrah Online ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak menggambarkan pendirian Editorial AlHijrah Media Corporation dalam isu yang dikupas.

Leave a Reply