COVID-19: TIADA KEMATIAN DUA HARI BERTURUT-TURUT, 88 SEMBUH DAN 68 KES BAHARU

Last Updated on

PUTRAJAYA: Tiada kematian direkodkan akibat COVID-19 dalam tempoh dua hari berturut-turut di negara ini menjadikan jumlah kumulatif kematian akibat pandemik itu kekal 107 kes, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Kes baharu menunjukkan sedikit peningkatan berbanding semalam iaitu 68 kes dengan 57 kes melibatkan kalangan bukan warganegara Malaysia.

“Ini menjadikan jumlah kes positif di Malaysia adalah sebanyak 6,535 kes. Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 1,564 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan,” katanya pada sidang media perkembangan COVID-19 di sini hari ini.

Terdapat 88 kes telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini, menjadikan jumlahnya lebih tinggi berbanding kes baharu.

“Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 4,864 kes iaitu 74.43 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata sehingga kini, 18 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah itu, tujuh kes memerlukan bantuan pernafasan. 

Sementara itu, satu kluster baharu dikenal pasti melibatkan 60 kes positif iaitu 53 warga asing dan tujuh warga tempatan di sebuah kilang di Pedas.

“Seperti yang dimaklumkan pada 2 Mei, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengenal pasti satu kluster yang melibatkan warga pekerja di sebuah kilang di Pedas, Negeri Sembilan.

“Kluster ini mula dikesan apabila seorang kakitangan kilang itu didapati tidak sihat dan mula mengalami gejala demam, batuk, selesema, sesak nafas dan sakit kepala pada 5 April,” katanya.

Beliau berkata susulan itu, siasatan dan saringan bagi kontak rapat kakitangan berkenaan dilakukan dan sehingga hari ini, 786 orang telah disaring untuk COVID-19 terdiri daripada pekerja kilang dan ahli keluarga mereka.

“Daripada jumlah keseluruhan ini, 60 kes didapati positif, 286 kes negatif dan 440 orang masih menunggu keputusan. Punca jangkitan bagi kluster ini masih di dalam siasatan.

“Kes-kes positif kluster ini melibatkan tujuh warganegara Malaysia dan 53 bukan warganegara iaitu 25 kes warga Nepal; 18 kes warga Bangladesh; lapan kes warga Indonesia; dan dua kes warga Myanmar,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham mengingatkan majikan sektor-sektor ekonomi yang dibenarkan beroperasi agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) di tempat kerja. 

Katanya majikan perlu membenarkan pekerja untuk mendapatkan pemeriksaan kesihatan oleh pengamal perubatan berdaftar atas biaya majikan, seperti yang dinyatakan di bawah Seksyen 60F Akta Kerja 1955 serta membenarkan cuti sakit bergaji atau kelayakan menerima rawatan bagi pekerja yang mempunyai gejala jangkitan.

Mereka juga dinasihat memastikan langkah-langkah pencegahan seperti pemeriksaan suhu badan dan gejala sebelum memasuki premis kerja; penyediaan tempat mencuci tangan atau cecair pembasmi kuman (hand sanitizer) dilaksanakan di tempat kerja. — BERNAMA

Leave a Reply