DI PASAR MENCARI REZEKI, DI RUMAH MENJAGA NYAWA

SERI KEMBANGAN: Di sebalik hiruk-pikuk Pasar Borong Selangor, tersimpan kisah seorang wanita cekal yang memikul beban kehidupan tanpa banyak bicara.
Mahaniza Mohammad, 54 tahun, menjadikan pasar sebagai tempat mencari rezeki sejak hampir dua tahun lalu.
Dengan upah seikhlas hati, dia mengangkat barang pelanggan dan mengambil upah sebagai ‘personal shopper’ demi meneruskan kelangsungan hidup keluarganya.
Pendapatan hariannya sekitar RM30 hingga RM40, dan jika rezeki memihak, boleh mencecah RM100 pada hari tertentu.
Jumlah itu mungkin kecil bagi sesetengah orang, namun bagi Mahaniza, ia adalah nadi kehidupan.
“Akak ni memang sumber utama keluarga. Suami tak berapa sihat, anak pun sakit. Inilah rutin akak, inilah mata pencarian akak,” katanya.
Keletihan Mahaniza tidak terhenti di pasar. Di rumah, dia menjaga suaminya, Mohamad Farhan Sedik, 43 tahun, yang terlantar selepas mengalami strok saraf ringan sejak dua tahun lalu.
Ujian keluarga ini bertambah berat apabila anak perempuannya, Puteri Nur Erisha, 15 tahun, cedera parah akibat terjatuh dari sebuah bangunan pada Julai lalu. Insiden itu menyebabkan pendarahan di kepala, kecederaan dalaman serta retakan tulang, sehingga mengubah perwatakan remaja itu yang kini memerlukan penjagaan rapi seperti kanak-kanak.
“Bila kerja sendiri macam ni, akak senang urus suami dan anak. Kalau kerja dengan orang, belum tentu majikan faham keadaan kita,” jelasnya.
Dalam masa sama, Mahaniza turut membesarkan anak keduanya, Putera Mohd Danish Aiman, 11 tahun, yang masih bersekolah.
Sebagai satu-satunya pencari nafkah, Mahaniza perlu mengurus keperluan harian keluarga termasuk makanan, lampin pakai buang dan susu untuk anak yang sakit.
Beban hidupnya sedikit diringankan apabila bantuan zakat menampung bayaran sewa rumah, bantuan yang telah diterimanya sejak enam tahun lalu.
“Alhamdulillah, apa yang zakat bantu akak sangat bersyukur. Yang selebihnya, akak usaha sendiri. Takkan semua nak minta,” katanya dengan nada tenang.
Dalam kesempitan hidup dan tenaga yang semakin terbatas, Mahaniza tetap memilih untuk bekerja selagi termampu, bukan kerana pilihan, tetapi kerana tanggungjawab. Kisahnya mencerminkan realiti ramai ibu yang bertahan dalam diam, demi memastikan keluarga terus bernafas dan berharap pada rahmat Allah.
Sumbangan kepada Mahaniza boleh disalurkan melalui akaun Public Bank atas nama Mahaniza Mohamad bernombor 4703033615.–AlHijrah Online