KUALA LUMPUR: ‘Saya menerima berita ini (pelantikan menteri) ketika baru sahaja selesai menunaikan zakat bagi tahun ini di PPZ-MAIWP’.
Demikian kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berhubung berita pelantikannya sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang baharu.
Dalam hantaran di media sosialnya itu beliau turut menzahirkan rasa syukur kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kepercayaan yang diberikan kepadanya.
“Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi dengan penuh keinsafan atas taklifan ini.
“Terima kasih kepada semua yang mendoakan dan memberi sokongan, pandangan, nasihat dan bimbingan. Doa-doa yang memberikan semangat dan kekuatan.
“Alhamdulillah, begitu banyak mesej ucapan dari keluarga, sahabat-sahabat, guru-guru, pelajar-pelajar dan lain-lain yang diterima mendoakan saya. Barakallahufikum jamian,” kongsinya.
Beliau berkata amanah diterimanya adalah taklif, tanggungjawab dan amanah bukan tasyrif serta mohon didoakan agar diberikan kebijaksanaan, budi, hikmah kekuatan dan ketabahan sebaik dan setulusnya.
Zulkifli hari ini diumum sebagai menteri bagi menggantikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.
Dalam Pengumuman Anggota Kabinet Kerajaan Madani yang baharu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengumumkan Marhamah Rosli dilantik sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). — AlHijrah Online