DUNIA
PERANAN AGAMAWAN DAN INSTITUSI AGAMA MENDEPANI ERA ‘SUPER INTELLIGENCE’
Ketika dunia melangkah ke era kecerdasan super (Super Intelligence), agamawan dan institusi agama dituntut memperluas penguasaan ilmu sains serta teknologi agar mampu menjadi peneraju perubahan, bukan sekadar pemerhati kemajuan peradaban.
Era Baru Dunia Teknologi
Dunia hari ini sedang menyaksikan satu anjakan paradigma dalam sejarah peradaban manusia moden, iaitu kemajuan teknologi yang disebut sebagai kecerdasan super atau Super Intelligence (SI).
Demikianlah pantasnya teknologi yang tidak akan menunggu sesiapa, yang terlambat pasti tertinggal kebelakang. Tatkala masih ramai yang terkial-kial untuk memahami, apatah lagi untuk menguasai kemahiran Artificial Intelligence, dunia sedang mengorak langkah menuju era baharu.
Presiden Amerika Syarikat Donald Trump telah menandatangani perintah eksekutif pada 29 September 2026 bertajuk “Inaugurating the Era of Super Intelligence”.
Anjakan rasmi daripada istilah konvensional Artificial Intelligence (AI) kepada Super Intelligence (SI) membawa mesej yang jelas. Kita bukan sekadar bercakap tentang alat bantu automasi konvensional, malahan kita sedang melangkah ke era sistem berautonomi tinggi yang berupaya meniru, memperluas, dan melipatgandakan daya fikir serta kreativiti manusia.
Menurut NASA, kecerdasan super ini merujuk kepada sistem komputer yang berkebolehan melakukan tugas kompleks yang kebiasaannya dilakukan melalui proses berfikir secara logik dan rasional oleh manusia termasuklah pembuatan keputusan, penciptaan, dan sebagainya.
Dalam perkembangan lain juga, baru-baru ini syarikat automotif terkemuka dunia Tesla memperkenalkan kereta sport Roadster terbaru yang didakwa mampu terbang dan memecut dengan kelajuan sifar hingga 97 kilometer (km) sejam dalam masa kurang daripada satu saat.
Kereta ini menggunakan teknologi jet ‘cold gas thrusters’ yang dikembangkan oleh SpaceX. Bahkan dalam demonstrasi yang ditayangkan secara langsung juga menunjukkan jentera tersebut mempunyai keupayaan unik menyerupai “kereta terbang” hasil kerjasama dengan syarikat roket SpaceX.
Seluruh dunia amat teruja dengan kejayaan ini dan dalam masa yang sama wujud kebimbangan tentang masa depan dan kehidupan manusia.
Timbul persoalan mengenai kemajuan teknologi dan ‘era super intelligence’ ini, apakah peranan Muslim mendepani realiti yang serba mencabar dan kompleks ini?
Meluaskan Minda Muslim
Dengan ini saya ingin mengajak semua khususnya institusi Islam dan agensi agama termasuk agamawan untuk turut cakna dengan perkembangan sains dan teknologi ini.
Apabila minda kita sentiasa terbuka dan terdedah dengan perkara yang lebih penting dan besar, maka daya, fikiran dan tumpuan kita tidak akan disia-siakan pada perkara ranting dan cabang yang merugikan.
Mungkin ramai tidak sempat mengikuti perkembangan dunia teknologi pada hari ini seperti post-quantum cryptography, quantum computing dan super intelligence yang sangat penting.
Post-Quantum Cryptography atau Kriptografi Pasca-Kuantum ialah pendekatan keselamatan siber yang direka khas untuk melindungi data daripada ancaman komputer kuantum masa depan.

Teknologi komputer kuantum berupaya memecahkan sistem keselamatan yang digunakan pada perbankan, komunikasi, kerajaan dan data peribadi hari ini.
Negara maju seperti Amerika sudah bersedia awal dengan meluluskan undang-undang khas iaitu Quantum Computing Cybersecurity Preparedness Act pada Disember 2022.
Perintah Eksekutif bertajuk “Securing the Nation Against Advanced Cryptographic Attacks” telah dilancarkan pada 22 Jun 2026 dengan garis masa penghijrahan sistem selewat-lewatnya pada penghujung tahun 2030 dan 2031.
Amerika juga sudah melaksanakan perjanjian keselamatan bertajuk “Joint Commitment on Frontier Responsibilities” yang ditandatangani bersama beberapa eksekutif industri teknologi terkemuka dunia bagi menetapkan kawalan dan keselamatan sistem terbabit.
Bukan itu sahaja, walaupun Amerika dan China bersaing rapat perihal teknologi dan ekonomi serta pengaruh, tetapi mereka sudah bersetuju untuk mengadakan Konferens atau dialog mengenai Super Intelligence pada tahun ini berikutan pertemuan rasmi antara Presiden AS, Donald Trump, dan Presiden China, Xi Jinping, di Washington pada September 2026.
Kita semua bernasib baik kerana Kerajaan Madani sudah melakukan persediaan sebaiknya.
Satu laporan yang diterbitkan SITG-Consulting sebuah firma penasihat berpangkalan di United Kingdom yang mempunyai kepakaran dalam risiko siber, tadbir urus kriptografi, kesiapsiagaan PQC menunjukkan Malaysia adalah satu-satunya negara di rantau ASEAN yang mencapai tahap tertinggi Tier 1 dalam kesiapsiagaan penghijrahan kepada Kriptografi Pasca-Kuantum.
Kita rakyat Malaysia berhak merasa bangga dan menyambut baik pencapaian yang memberangsangkan ini.
Ini membuktikan kejayaan pelbagai inisiatif strategik Kerajaan MADANI bagi memastikan data, sistem dan Infrastruktur Maklumat Kritikal Negara (NCII) kekal selamat serta berdaya tahan daripada ancaman teknologi pengkomputeran kuantum.
Namun Malaysia tidak boleh cepat berasa selesa. Dalam dunia yang serba pantas dan serba mungkin ini, kita seharusnya sentiasa bersiap siaga.
Justeru menjadi tanggungjawab kita umat Islam untuk mempersiap diri dari segala aspek, dan menumpukan sepenuh kekuatan untuk memperkasa ummah dari segenap sudut, sama ada kekuatan rohani dan material, kemampuan intelektual dan minda saintifik, serta merapatkan saf dalam menghadapi ancaman luar.
Cukup-cukuplah kita bertelagah soal ranting yang tidak membawa kita ke mana-mana, dan cukup-cukuplah kita mempertajam perselisihan sesama kita, sama ada disebabkan politik, aliran pemikiran mahupun semangat kenegerian.
Agamawan dan Institusi Agama Peneraju Perubahan
Sejarah kegemilangan tamadun Islam di Andalusia membuktikan bahawa penguasaan ilmu merupakan asas penting dalam membangunkan peradaban.
Umat Islam memainkan peranan membangun peradaban yang memberi manfaat kepada dunia. Tumpuan diberikan kepada perkembangan ilmu pengetahuan termasuk dari aspek sains dan teknologi.
Kota Cordoba berkembang sebagai pusat keilmuan yang menghimpunkan pengajian agama, perubatan, matematik, astronomi dan falsafah.
Sokongan terhadap ilmuwan, perkembangan perpustakaan serta budaya membaca dan penyelidikan telah menyuburkan kegiatan intelektual yang turut menyumbang kepada perkembangan ilmu di Eropah.
Andalusia melahirkan tokoh seperti al-Zahrawi yang memberikan sumbangan besar dalam bidang pembedahan dan peralatan perubatan, serta al-Zarqali yang memajukan bidang astronomi dan instrumen cerapan.

Ibn Rushd pula menguasai bidang fiqh, falsafah dan perubatan. Ketokohan mereka mencerminkan keluasan tradisi keilmuan Islam serta kesungguhan meneroka ilmu untuk memahami alam dan memenuhi keperluan manusia.
Ibrah daripada kegemilangan ini ialah kemajuan memerlukan budaya ilmu yang dipupuk secara berterusan.
Institusi Islam dan agensi agama hari ini boleh mengambil peranan pro aktif bagi mempersiapkan Masyarakat dengan perkembangan teknologi dalam era ‘Super Intelligence’ ini.
Ia boleh dimulakan dengan memperkukuh kerjasama bersama universiti, pusat penyelidikan dan industri teknologi.
Usaha ini boleh diterjemahkan melalui peningkatan literasi teknologi dalam kalangan agamawan, pembangunan bakat muda serta penyelidikan bersama yang menangani keperluan masyarakat berpandukan nilai dan etika Islam.
Agamawan dan institusi agama pula perlu memainkan peranan lebih aktif menanamkan semangat dan kecintaan Masyarakat kepada ilmu pengetahuan.
Ceramah, syarahan, kuliah dan program ilmu mesti dihidupkan dan bukan lagi berkisar soal khilaf dan perkara yang merugikan tetapi fokus kepada pembinaan peradaban dan ketamadunan.
Agamawan perlu mempersiapkan diri dengan mengambil tahu dan mengikuti secara dekat perkembangan dunia sains dan teknologi.
Agamawan tidak lagi hanya tahu mengenai aspek Syariah, fiqh, akidah, ibadah tetapi cakna dan mengetahui perkembangan dunia teknologi yang mempengaruhi kehidupan manusia.
Masyarakat sangat dahagakan bimbingan dan panduan dari agamawan berkenaan penggunaan teknologi terkini dalam era ‘Super Intelligence’ ini.
Semangat Andalusia dan La Convivencia perlu dihidupkan melalui keberanian meneroka ilmu dan kesungguhan membangunkan kepakaran.
Agamawan dan institusi agama boleh membangunkan dan memantapkan penguasaan ilmu turath dan ilmu kontemporari agar umat Islam dapat menyumbang kepada kemajuan sains dan teknologi dan juga panduan menggunakannya dengan beretika dan manusiawi.

Dengan demikian, kebanggaan terhadap Sejarah kegemilangan lalu menjadi dorongan untuk menghasilkan sumbangan baharu demi kesejahteraan manusia dan kemajuan peradaban.
Kesimpulan
Era Super Intelligence ialah satu realiti yang tidak boleh dielakkan. Pilihan di tangan kita adalah sama ada kita mahu menjadi penonton yang ketinggalan zaman, atau menjadi pemacu kepada kemajuan.
Malaysia punyai ramuan dan resepi yang cukup untuk muncul sebagai: keamanan, kekayaan sumber asli, lokasi strategik dan sumber manusia; yang tinggal hanyalah kesediaan kita untuk berani mempersiapkan diri menggalas tugas besar, demi agama dan demi kemanusiaan sejagat.
Saya mengajak semua untuk berfikir dan berfikir yang selari dengan tuntutan al-Quran.
Al-Quran menyuruh manusia untuk sentiasa berfikir dan Allah SWT memuji golongan yang berfikir atau Ulul Albab yang sentiasa tafakkur (fikir), tadabbur (meneliti), dan taaqul (menjiwai).
Jika diteliti, perkataan akal dalam al-Quran ada sebanyak 50 kali dalam pelbagai surah, suruhan untuk berfikir juga ada lebih kurang 700 tempat dan perkataan Ulul Albab disebut sebanyak 16 kali.
Mawlana Amin Ahsan Islahi tokoh tafsir al-Quran ada menulis:
“Sungguh ironik sekali, mengenangkan al-Quran sebagai sebuah kitab yang cukup menekankan tanggungjawab berfikir, tetapi al-Quran itu sendiri mungkin satu-satunya buku yang dibaca tanpa penekanan dan perhatian yang serius terhadap mesej yang ingin disampaikan.
Biasanya, kebanyakan orang apabila hendak membaca suatu buku, mereka akan mempersiapkan diri untuk memahami isi kandungannya. Namun tatkala mereka menyelak halaman al-Quran, mereka menutup pintu akal mereka dan hanya membaca tanpa faham suatu apa pun.”
Dunia sudah begitu jauh kehadapan. Oleh itu, kita mestilah fokus kepada perkara yang lebih besar bukan ranting dan khilaf yang merugikan.
Agamawan dan institusi agama perlu menjadi pemangkin dan peneraju mendidik dan membimbing Masyarakat.
Persiapan dan tumpuan kepada keilmuan tradisi dan turath itu penting, tetapi dalam masa yang sama, ilmu kontemporari seperti sains dan teknologi juga perlu digarap dan diberikan perhatian yang lebih serius, sebagai kewajipan dalam mendepani realiti hari ini dan cabaran masa depan.
Malaysia Madani dan budaya ilmu berpisah tiada.
Dr. Zulkifli Hasan
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)
Related
Discover more from ALHIJRAH NEWS
Subscribe to get the latest posts sent to your email.

