DALAM NEGARA
KERAJAAN MADANI TERUS MEMARTABATKAN SYIAR ISLAM DI BUMI MALAYSIA
Belanjawan MADANI 2027 memperkukuh syiar Islam di Malaysia menerusi peningkatan peruntukan hal ehwal agama kepada RM3.1 bilion. Inisiatif ini merangkumi pemerkasaan pendidikan Islam, kebajikan petugas agama serta pembangunan ekonomi Islam dan industri halal.

Syukur alhamdulillah, kita melafazkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT atas limpahan rahmat dan inayah-Nya, kerana agenda pemartabatan syiar Islam terus diberikan perhatian dalam Belanjawan Madani 2027.
Pembangunan negara yang diikhtiarkan oleh Kerajaan hari ini tidak hanya berpasak pada kemajuan fizikal dan kestabilan ekonomi semata-mata, sebaliknya berakar tunjang pada pengukuhan nilai, akhlak, serta ketinggian syiar agama.
Firman Allah SWT dalam surah al-Hasyr, ayat yang ke-18:
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ وَلْتَنظُرْ نَفْسٌ مَّا قَدَّمَتْ لِغَدٍ ۖ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ خَبِيرٌۢ بِمَا تَعْمَلُونَ
Maksudnya: “Wahai orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya); dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang ia telah sediakan (dari amal-amalnya) untuk hari esok (hari akhirat). Dan (sekali lagi diingatkan): Bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah amat meliputi pengetahuan-Nya akan segala yang kamu kerjakan.”
Waad Nasional
Bertemakan ‘Menggapai di langit, mengakar di bumi dan berpaksikan lapan lunas’, Belanjawan ini telah dibingkaikan oleh YAB Perdana Menteri sebagai satu ‘Waad Nasional’.
Perkataan ‘waad’ dari sudut bahasa Arab bermaksud janji atau ikrar, justeru ia merupakan satu ikatan moral kerajaan untuk terus berkhidmat demi kesejahteraan rakyat.
Menerusi kerangka Ekonomi Madani, kita bertekad untuk memperkasa rakyat dengan menaikkan siling dan lantai ekonomi, serta melaksanakan pembaharuan tatakelola yang telus.
Usaha ini diperkukuhkan lagi dengan pelaksanaan inisiatif seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP), Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), penyasaran subsidi, serta pelarasan gaji minimum dan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).
Malaysia Berada Di Posisi Terbaik
Apabila kita bercakap mengenai pemartabatan syiar Islam dan kesejahteraan rakyat, ia tidak boleh dipisahkan daripada kestabilan serta kekuatan ekonomi negara kerana indikator ekonomi merupakan cermin utama yang mencerminkan keberkesanan tatakelola serta dasar yang Kerajaan laksanakan.
Alhamdulillah, melalui komitmen dan kebertanggungjawaban yang tinggi, peruntukan Belanjawan Negara telah ditingkatkan daripada RM470 bilion kepada RM510 bilion sebagai bukti komitmen berterusan Kerajaan dalam memacu pertumbuhan dan memakmurkan kehidupan rakyat.
Walaupun perbelanjaan bertambah, disiplin fiskal kekal sebagai keutamaan kita apabila berjaya menurunkan kadar defisit fiskal negara secara bertahap daripada 5.5% kepada 3.7%, dan berada pada landasan kukuh untuk mencatatkan 3.3% menjelang tahun 2027.
Prestasi ini diperkukuhkan lagi apabila Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara mencatatkan pertumbuhan pada kadar 4.2% hingga 5.2% berbanding 3.4% KDNK dunia, termasuk lonjakan 6.0% pada suku kedua 2026.
Pada masa yang sama, kadar inflasi terkawal pada 1.8% hingga 2.8%, pengangguran ditekan turun kepada 2.9% pada tahun 2026, serta nisbah hutang negara kekal terurus pada paras 63.7%.
Kejayaan ekonomi ini sentiasa diimbangi dengan keutamaan Kerajaan untuk memastikan limpahan hasil negara dinikmati secara langsung oleh rakyat di peringkat akar umbi.
Selepas kejayaan pelarasan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang menyaksikan kenaikan gaji penjawat awam sehingga 15%, Kerajaan meneruskan langkah berani meningkatkan gaji minimum daripada RM1,700 kepada sasaran RM2,000 menjelang tahun 2027.
Pada masa yang sama, iltizam kita dalam membasmi kemiskinan membuahkan hasil yang amat nyata apabila kadar kemiskinan tegar yang berada pada paras 0.2% pada tahun 2022 berjaya diturunkan secara drastik kepada hanya 0.09% pada tahun 2024, sekali gus membuktikan kebajikan segenap lapisan masyarakat sentiasa dipelihara.
Peningkatan Peruntukan Berkaitan Syiar Islam
Selari dengan komitmen berterusan Kerajaan Madani untuk terus mengangkat dan memartabatkan syiar Islam di bumi Malaysia, peruntukan bagi Hal Ehwal Agama telah ditingkatkan secara signifikan daripada RM2.6 bilion kepada RM3.1 bilion.
Peningkatan sebanyak 13.8 peratus ini memperlihatkan keutamaan serta keprihatinan mendalam Kerajaan dalam memastikan agenda pembangunan Islam dilaksanakan secara lebih komprehensif, berkesan, dan berimpak tinggi demi kemaslahatan seluruh ummah.
Daripada jumlah keseluruhan peruntukan tersebut, sebanyak 85.4% dialokasikan bagi perbelanjaan pengurusan, manakala 14.6% lagi dikhususkan untuk perbelanjaan pembangunan.
Pemerkasaan Institusi Pendidikan Islam
Dalam aspek pemerkasaan pendidikan Islam, Kerajaan Madani terus memberi tumpuan khusus dengan memperuntukkan RM200 juta bagi sekolah agama rakyat, institusi tahfiz, dan sekolah pondok yang berdaftar di bawah JAKIM, di mana skop bantuan ini kini diperluas untuk merangkumi kos operasi institusi.
Bagi memelihara keagungan khazanah keilmuan turath pula, Kerajaan telah menubuhkan Majlis Penasihat Pondok dan Turath Malaysia dengan penglibatan tokoh ulama tersohor antarabangsa seperti Syeikh Ali Jumu’ah dan Syeikh Idris al-Fasi.
Di samping itu, Kerajaan turut memperkenalkan Sijil Turath Malaysia demi menjamin kemampanan serta relevansi institusi pondok.

Selari dengan arus pemodenan, kerjasama strategik antara JAKIM dan MDEC turut digerakkan bagi menyalurkan peranti serta latihan kemahiran digital kepada para guru dan pelajar di lebih 300 buah sekolah pondok di seluruh negara.
Usaha ini sekali gus melahirkan generasi ulama dan penuntut ilmu yang berdaya saing serta menguasai teknologi terkehadapan.
Kebajikan Petugas Agama
Di samping itu, Kerajaan sentiasa menyanjung tinggi dan menghargai pengorbanan para asatizah serta petugas agama di peringkat akar umbi yang menjadi tiang seri pengimarahan syiar Islam di seluruh negara.
Sebagai tanda penghargaan dan ikhtiar memelihara kebajikan mereka, Kerajaan bersetuju menyalurkan sumbangan khas sebanyak RM750 bagi menghargai jasa 70,000 guru KAFA, guru takmir, imam, bilal, tok siak, noja, dan marbut.
Selain itu, pengorbanan murni 500 guru KAFA yang mendidik murid-murid berkeperluan khas, termasuk melalui medium bahasa isyarat dan al-Quran Braille, turut diiktiraf menerusi pemberian Insentif Khas sebanyak RM150 sebulan.

Kesejahteraan para pemakmur rumah Allah ini dilengkapkan lagi melalui peruntukan khas kerajaan yang menanggung sepenuhnya caruman PERKESO buat 40,000 imam, bilal, tok siak, petugas masjid, dan guru takmir, dengan Lembaga Tabung Haji bertindak selaku agensi pelaksana.
Langkah ini bertujuan memastikan perlindungan keselamatan sosial yang berterusan dan memberi ketenangan buat mereka dalam berkhidmat demi ummah.
Semangat Syariah Dalam Undang-undang
Dari sudut perundangan dan keadilan, pengumuman YAB Perdana Menteri mengenai pindaan Akta Pengangkutan Jalan bagi mewajibkan pemandu yang berada di bawah pengaruh alkohol atau dadah untuk membayar pampasan kepada mangsa atau keluarga sememangnya disambut dengan penuh syukur.
Pindaan ini dilihat secara tidak langsung mengandungi elemen yang selari dengan konsep diyat dalam perundangan Islam, iaitu pemberian pampasan kepada mangsa atau waris sebagai salah satu bentuk pengiktirafan terhadap hak pihak yang terkesan akibat sesuatu perbuatan yang memudaratkan.
Usaha ini juga seiring dengan perhatian yang telah diberikan oleh Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) terhadap penerokaan konsep diyat dalam konteks kemalangan jalan raya di Malaysia.
Pada 11 Februari 2026 yang lalu, kami telah mengadakan satu perbincangan meja bulat (Roundtable Discussion – RTD) mengenai konsep diyat di Putrajaya dengan menghimpunkan para mufti, tokoh akademik, pakar perundangan serta pemain industri takaful.
Perbincangan ini bertujuan meneroka kebolehlaksanaan dan mekanisme pelaksanaan diyat yang holistik dalam kes kemalangan jalan raya, dengan mengambil kira kerangka perundangan, prinsip syariah serta kepentingan mangsa dan waris.
Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan untuk meneliti bagaimana prinsip keadilan dalam Islam dapat menyumbang kepada pendekatan yang lebih menyeluruh dalam memastikan hak mangsa terbela dan tanggungjawab pihak yang menyebabkan kemudaratan diberikan perhatian sewajarnya.
Pengukuhan Ekonomi Islam dan Halal
Dalam usaha memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai peneraju ekonomi Islam dunia, Kerajaan terus memacu pertumbuhan kewangan Syariah dan industri halal menerusi pelbagai insentif fiskal dan bantuan strategik.
Bagi menggalakkan sektor pengurusan dana Syariah, penyedia perkhidmatan pengurusan dana patuh Syariah diberi pengecualian cukai pendapatan 40 peratus bagi tahun taksiran 2028 hingga 2030.
Manakala pembiayaan Syariah lestari diperkasa menerusi potongan cukai atas kos penerbitan Sukuk Prisma yang diluluskan Suruhanjaya Sekuriti bagi tahun taksiran 2027 hingga 2030, serta pengecualian cukai pendapatan bagi geran di bawah Skim Sukuk SRI dan Geran Bon mulai 1 Januari 2027.
Di peringkat pembangunan industri halal, Kerajaan menyediakan geran padanan sehingga RM5,000 kepada syarikat PMKS yang mahu mendapatkan sijil halal buat kali pertama, di samping geran RM25,000 untuk memperkasa PMKS halal dalam bidang berpotensi tinggi seperti kosmetik dan farmaseutikal.
Ekosistem ini dilengkapkan lagi dengan kemudahan kepada ahli KWSP yang memilih Simpanan Shariah untuk membayar zakat secara terus daripada dividen, seiring dengan kemudahan yang telah dilaksanakan di PNB dan Lembaga Tabung Haji demi memudah cara pelaksanaan kewajipan beragama rakyat.
Islam Subur dan Mekar di Malaysia
Budaya ilmu dan dakwah dihidupkan menerusi acara-acara berskala antarabangsa seperti Festival Turath Islami Malaysia, International Sama’ Hadith, Perhimpunan Akademi Fiqh Islam Antarabangsa Ke-27 (27th International Islamic Fiqh Academy), Konvensyen Masjid Nusantara, Pameran Khat Sedunia, Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Antarabangsa (MTHQA), serta Projek Terjemahan Rasmi Sahih Bukhari.

Keupayaan penyiaran media Islam turut berada di kemuncak menerusi TVAlhijrah, penyiaran JAKIM, Radio IKIM, dan Astro Oasis.
Manakala Kompleks Nasyrul Quran di Presint 14 Putrajaya kekal megah sebagai pusat percetakan Al-Quran kedua terbesar di dunia selepas Madinah yang telah mencetak lebih sejuta naskhah Al-Quran berserta terjemahan dalam pelbagai bahasa melebihi 30 bahasa.
Seiring dengan itu, agenda pendidikan Islam terus dimartabatkan menerusi Program Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) yang kini menyambut ulang tahun ke-36 penubuhannya dari tahun 1990 hingga 2026.
Perkembangan ini menyaksikan lonjakan bilangan guru daripada 5,830 orang kepada 36,500 orang, manakala kemasukan murid berkembang pesat daripada 169,330 orang kini mencecah 1.4 juta murid, termasuk murid KAFA berkeperluan khas.
Di pentas antarabangsa, kepemimpinan Malaysia dalam industri dan pembangunan ekosistem Islam berada di aras terbaik dunia.
Bagi industri halal, Malaysia terus terkehadapan dan dinobatkan sebagai Destinasi Pelancongan Mesra Muslim Terbaik dalam Global Muslim Travel Index (GMTI) 2026 buat tahun ke-11 berturut-turut.
Pengurusan haji negara menerusi Lembaga Tabung Haji (TH) kekal menjadi penanda aras global apabila merangkul Anugerah Labbaitom buat kali kelima berturut-turut serta pengiktirafan tertinggi Diamond Award buat kali kedua berturut-turut daripada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi bagi musim haji 1447H/2026M.

Manakala dalam sektor kewangan Islam, Malaysia unggul menerajui kedudukan pertama dunia buat kali ke-12 berturut-turut berdasarkan Indikator Pembangunan Kewangan Islam (IFDI) 2024 dengan skor tertinggi 144 mata, mengatasi Arab Saudi (119), UAE (88), Indonesia (85) dan Pakistan (75).
Di samping itu, tadbir urus zakat dan institusi wakaf kita terus menjadi model teladan antarabangsa.
Melengkapi kemakmuran syiar Islam ini, aspek kepimpinan dan profesionalisme terus dipacu oleh agensi-agensi pemikir utama seperti IKIM, ILIM, IAIS, dan JAKIM yang memainkan peranan kritikal dalam merangka wacana fikrah ummah yang maju dan progresif.
Kesimpulan
Di tengah-tengah kehangatan usaha dan iltizam Kerajaan membentangkan agenda pembangunan ini, tidak dinafikan ada juga pihak yang mempersoalkan serta memperkecilkan keupayaan Belanjawan 2027.
Namun, tanggapan sedemikian mengingatkan saya kepada pesanan dan kata-kata hikmah cendekiawan ulung, Pak Natsir yang amat bijaksana:
“Yang senang kita buat sekarang, yang susah kita buat nanti, yang mustahil kita buat esok. Ada yang bertanya kenapa mustahil pun dibuat esok? Dia bilang mustahil itu pada perkiraan hari ini; esok mungkin sudah tidak lagi mustahil.”
Ungkapan ini mengajar kita bahawa segala pembaharuan besar dan ikhtiar berani yang kelihatan sukar pada mata kasar hari ini, bakal menjadi realiti yang membuahkan hasil berkat tekad, perancangan rapi, serta ikhtiar yang tidak pernah kenal erti putus asa.
Akhir kata, saya ingin menyimpulkan bahawa kerangka Belanjawan 2027 ini digubal berasaskan falsafah yang amat mendalam, iaitu cita-cita yang menggapai ke langit dan mengakar di bumi.
Kita berhasrat meletakkan kedudukan ekonomi serta syiar Islam negara di mercu kejayaan yang paling tinggi dengan wawasan jauh ke hadapan, namun pada masa yang sama, seluruh keutamaan dan pelaksanaan dasar kita kekal berpijak di bumi nyata demi memelihara kebajikan serta kesejahteraan hakiki seluruh rakyat Malaysia.
Semoga ikhtiar murni ini senantiasa diberkati Allah SWT.
Dr Zulkifli Hasan
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)
Related
Discover more from ALHIJRAH NEWS
Subscribe to get the latest posts sent to your email.
