
Perkahwinan dalam Islam dibina atas asas sakinah, mawaddah, warahmah. Bagaimanapun, tidak semua ikatan yang dimeterai mampu bertahan sehingga ke penghujung hayat.
Ada kalanya, perceraian menjadi jalan terakhir apabila persefahaman gagal dicapai dan kehidupan bersama hanya mengundang kemudaratan.
Islam tidak pernah menafikan hak pasangan untuk berpisah. Walau apa pun puncanya, perpisahan tidak seharusnya dijadikan alasan untuk mengetepikan adab, mengabaikan tanggungjawab atau membalas dendam.
Firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 229:
فَإِمْسَاكٌ بِمَعْرُوفٍ أَوْ تَسْرِيحٌ بِإِحْسَانٍ
Maksudnya: “Maka bolehlah ia rujuk dan memegang terus (isterinya itu) dengan cara yang sepatutnya atau melepaskan (menceraikannya) dengan cara yang baik.”
Ayat ini memperlihatkan bahawa Islam bukan sahaja menggariskan panduan membina rumah tangga, malah menetapkan adab apabila hubungan suami isteri menemui noktah.
Malangnya, apabila kemarahan merasuki kewarasan, hak, harta, kediaman dan tanggungjawab terhadap anak-anak boleh bertukar menjadi medan pertikaian.
Ada yang begitu bersungguh-sungguh menuntut hak sendiri tetapi cukup berkira apabila tiba masanya untuk menunaikan hak orang lain.
Allah SWT mengingatkan dalam Surah al-Baqarah ayat 231:
وَلَا تُمْسِكُوهُنَّ ضِرَارًا لِّتَعْتَدُوا
Maksudnya: “Dan janganlah kamu pegang mereka semula dengan maksud memberi mudarat kerana kamu hendak melakukan kezaliman.”
Walaupun ayat ini secara khusus melarang perbuatan merujuk isteri dengan niat memudaratkannya, pengajarannya jelas bahawa hubungan perkahwinan tidak boleh diperalatkan untuk melakukan kezaliman.
Dalam Surah at-Talaq ayat 6 pula, Allah SWT berfirman:
أَسْكِنُوهُنَّ مِنْ حَيْثُ سَكَنتُم مِّن وُجْدِكُمْ وَلَا تُضَارُّوهُنَّ لِتُضَيِّقُوا عَلَيْهِنَّ
Maksudnya: “Tempatkanlah isteri-isteri (yang menjalani idahnya) itu di tempat kediaman kamu sesuai dengan kemampuan kamu; dan janganlah kamu adakan sesuatu yang menyakiti mereka dengan tujuan hendak menyusahkan kedudukan mereka.”
Tuntutan berkaitan kediaman dan nafkah selepas perceraian mempunyai ketetapan hukum tersendiri. Sebarang pertikaian hak sewajarnya diselesaikan secara adil dan jangan sengaja-sengaja menyusahkan kehidupan pihak lain.
Jangan pula kita sibuk mempertahankan ego sehingga keadilan yang dituntut agama sendiri diketepikan.
Lebih menyedihkan apabila anak-anak turut terheret dalam kancah persengketaan orang dewasa.
Mereka tidak pernah memilih untuk menyaksikan perpisahan ibu bapa, apatah lagi menanggung akibat daripada kemarahan yang gagal dikawal.
Anak-anak berhak mendapat kasih sayang, perlindungan dan nafkah mengikut ketetapan syarak.Tidak wajar dijadikan mereka sebagai alat tawar-menawar demi memenangkan pertikaian ibu bapa.
Dalam pada itu, menjaga maruah dan aib keluarga tetap menjadi tuntutan agama. Walau bagaimanapun, prinsip tersebut tidak boleh disalahgunakan untuk menyekat individu yang dizalimi daripada mendapatkan pembelaan.
Islam memberi ruang kepada mereka yang teraniaya untuk menyuarakan penganiayaan. Bagaimanapun, setiap dakwaan perlu berlandaskan kebenaran dan disalurkan secara bertanggungjawab.
Masyarakat pula perlu mengelakkan sikap terlalu cepat menghukum berdasarkan rakaman singkat atau kenyataan sebelah pihak.
Prinsip tabayyun ditegaskan melalui Surah al-Hujurat ayat 6:
إِن جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا
Maksudnya: “Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah kebenarannya.”
Keghairahan memberikan komentar, menyebarkan tuduhan dan memperlekehkan individu tertentu hanya berisiko memburukkan keadaan.
Jangan ghairah menjadi hakim di media sosial sedangkan keseluruhan fakta belum diketahui.
Akhirnya, kematangan seseorang turut diukur melalui caranya menguruskan perpisahan.
Tidak semua perkahwinan mampu diselamatkan, tetapi amanah, rasa hormat dan keadilan tetap wajib dipelihara.
Jika tidak lagi mampu hidup bersama dengan kasih sayang, sekurang-kurangnya berpisahlah dengan ihsan.
Perceraian mungkin menamatkan hubungan suami isteri, tetapi tanggungjawab untuk berlaku adil tidak pernah berakhir — AlHijrah Online.