
KUALA LUMPUR: Dalam dunia politik moden yang sering diwarnai persepsi, pencitraan dan perlumbaan menampilkan kemewahan, kisah sehelai baju lama yang dipakai Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selama hampir sedekad membuka ruang kepada satu renungan yang lebih mendalam tentang makna sebenar kepimpinan.
Cerita yang tular di media sosial mengenai baju Perdana Menteri, koyak pada lengan dan dijahit semula beberapa kali mungkin kelihatan kecil bagi sesetengah pihak. Namun, ada hal yang jarang ditemui dalam politik kontemporari iaitu seorang pemimpin yang tidak menjadikan jawatan sebagai tiket untuk hidup bermewah-mewahan. Lebih menyentuh hati apabila baju tersebut dijahit sendiri oleh isterinya, yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.
Sudah tentu seseorang tidak boleh dinilai hanya berdasarkan pakaian yang dipakai. Namun dalam konteks kepimpinan, perkara-perkara kecil sering kali memperlihatkan watak sebenar seseorang. Apa yang dilakukan ketika tiada kamera yang merakam kadangkala lebih bermakna daripada seribu pidato di pentas politik.
Dalam tradisi Islam, kepimpinan melalui teladan atau qudwah hasanah sentiasa menjadi asas kepada pembentukan masyarakat. Allah SWT berfirman:
“Sesungguhnya pada diri Rasulullah itu terdapat contoh teladan yang baik bagi kamu.”
(Surah al-Ahzab, ayat 21)
Ayat ini menjelaskan bahawa kepimpinan bukan sekadar arahan atau retorik, tetapi contoh yang ditunjukkan melalui perbuatan dan akhlak.
Tidak menghairankan apabila Anwar sering menekankan nilai kesederhanaan dalam pelbagai ucapan beliau. Ketika mengulas ibadah haji baru-baru ini, beliau mengajak umat Islam menghayati makna ihram yang mengajar manusia meninggalkan simbol kemewahan, pangkat dan darjat demi membugar rasa insaf serta tawaduk di hadapan Allah SWT.
Hakikatnya, nilai yang diungkapkan itu kelihatan selari dengan gaya hidup yang dipamerkan. Kesederhanaan yang dituturkan bukan sekadar slogan, tetapi diterjemahkan dalam kehidupan seharian.
Rasulullah SAW sendiri mengingatkan:
“Tidak akan berkurang harta seseorang kerana bersedekah dan tidaklah seseorang merendah diri kerana Allah melainkan Allah akan mengangkat darjatnya.”
(Riwayat Muslim)
Hadis ini memperlihatkan bahawa tawaduk bukanlah tanda kelemahan, sebaliknya lambang kekuatan jiwa dan kematangan dalam kepimpinan.
Dalam sejarah Islam, para khalifah dan ulama besar sering dikenang kerana kezuhudan, kesederhanaan dan kedekatan mereka dengan rakyat. Umar al-Khattab RA misalnya terkenal dengan pakaian yang bertampal walaupun mentadbir empayar luas. Nilai yang sama terus menjadi ukuran moral dalam menilai seorang pemimpin sehingga hari ini.
Anwar juga dikenali mempunyai hubungan yang rapat dengan ramai tokoh ulama dan cendekiawan Islam di dalam serta luar negara. Beliau sering menekankan kepentingan adab, tradisi keilmuan dan peranan ulama dalam membentuk masyarakat berakhlak. Pendekatan tersebut memperlihatkan mengukur pembangunan negara berdasarkan konteks ekonomi semata-mata adalah dangkal. Wajar juga pembinaan nilai dan karakter masyarakat menjadi kayu ukur.
Malah dalam pertemuan bersama pemimpin agama antarabangsa di Sidang Kemuncak Pemimpin Agama Antarabangsa Ketiga, baru-baru ini, beliau menegaskan bahawa kesederhanaan, saling menghormati dan persefahaman merupakan asas kepada kestabilan masyarakat majmuk. Pendekatan ini konsisten dengan falsafah wasatiyyah yang menjadi teras pemikiran banyak sarjana Islam, iaitu mengambil jalan pertengahan dan menjauhi sikap melampau.
Sudah pasti sebagai Perdana Menteri, Anwar tidak terlepas daripada kritikan. Dalam sistem demokrasi, dasar kerajaan wajar dipersoal, dinilai dan diperdebatkan secara terbuka. Kritikan yang berasaskan fakta merupakan sebahagian daripada proses semak dan imbang yang sihat.
Tatkala ramai pemimpin dunia berdepan tuduhan salah guna kuasa, kemewahan melampau dan pengumpulan kekayaan peribadi, rakyat tentunya mengharapkan pemimpin yang memahami nilai amanah serta keutamaan perbelanjaan awam.
Penjawat awam yang menunggu pelarasan gaji selama lebih satu dekad akhirnya menerima berita yang dinanti-nantikan. Institusi kehakiman yang sekian lama menunggu semakan imbuhan turut diberikan perhatian. Sama ada seseorang bersetuju atau tidak dengan keseluruhan dasar kerajaan, hakikatnya terdapat usaha untuk menyalurkan sumber negara kepada keperluan rakyat dan institusi penting negara.
Pada akhirnya, kepimpinan adalah tentang mengambil seperca nilai yang boleh kita jadikan penghayatan.
Sehelai baju yang dijahit berkali-kali barangkali tidak mampu menyelesaikan segala masalah negara. Namun ia memberi petunjuk tentang satu nilai yang semakin sukar ditemui dalam politik moden, yakni kesediaan untuk hidup secara sederhana walaupun berada di puncak kuasa.
Mungkin itulah sebabnya kisah tersebut menyentuh hati ramai. Di sebalik jawatan Perdana Menteri, masih ada seorang insan yang memilih untuk tidak terpesona dengan kemewahan dunia. Dalam banyak keadaan, teladan yang paling berkesan tidak dipentaskan di khalayak, akan tetapi yang menyuluh secara semula jadi melalui kehidupan seharian.
Baju koyak boleh dijahit semula. Namun masyarakat yang kehilangan keupayaan menghargai nilai tawaduk dan kesederhanaan akan lebih sukar dipulihkan. Justeru, dalam menilai seorang pemimpin, mungkin sudah tiba masanya kita melihat bukan sahaja apa yang diperkatakan, tetapi juga bagaimana beliau menjalani kehidupannya. –AlHijrah Online