Connect with us

ALHIJRAH NEWS

AYAM MATI SEBELUM DISEMBELIH: ISU HALAL TIDAK BOLEH DIPANDANG RINGAN

DALAM NEGARA

AYAM MATI SEBELUM DISEMBELIH: ISU HALAL TIDAK BOLEH DIPANDANG RINGAN

Isu premis penyembelihan ayam yang disyaki tidak mematuhi hukum syarak di Puchong mencetuskan kebimbangan terhadap status halal bekalan ayam serta keperluan memperketat pemantauan sepanjang rantaian pengedaran makanan.

Isu penemuan premis penyembelihan dan pemprosesan ayam yang disyaki tidak mematuhi hukum syarak di Puchong, Selangor baru-baru ini merupakan perkara serius yang tidak boleh dipandang ringan kerana melibatkan tuntutan agama, hak pengguna Muslim dan integriti rantaian bekalan makanan halal negara.

Lebih membimbangkan, terdapat kemungkinan ayam yang tidak disembelih mengikut hukum syarak telah diproses dan diedarkan kepada pelbagai premis perniagaan termasuk restoran, kedai runcit dan pasar raya.

Sekiranya bekalan berkenaan turut memasuki pasar borong atau saluran pengedaran lebih luas, risiko pencampuran dengan bekalan ayam halal yang lain perlu diberikan perhatian serius.

Dari perspektif syarak, antara syarat asas penyembelihan ialah haiwan mestilah masih hidup ketika proses sembelihan dilakukan. Penyembelihan juga perlu dilaksanakan dengan memutuskan saluran yang ditetapkan oleh hukum syarak bagi membolehkan darah mengalir keluar.

Sekiranya ayam telah mati terlebih dahulu akibat renjatan elektrik atau kaedah lain sebelum disembelih, proses sembelihan selepas kematian tersebut tidak menjadikan ayam berkenaan halal untuk dimakan.

Bagaimanapun, penggunaan teknologi dalam industri penyembelihan moden tidak semestinya bercanggah dengan prinsip halal.

Sebagai contoh, kaedah stunning atau pelalian sebelum sembelihan boleh dipertimbangkan berdasarkan standard yang ditetapkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), tertakluk kepada syarat tertentu termasuk tidak menyebabkan kematian haiwan sebelum sembelihan atau kecederaan fizikal secara kekal.

Selain aspek teknikal penyembelihan, tadbir urus dan pemantauan rumah sembelihan turut memerlukan perhatian.

Operasi premis tanpa pendaftaran, lesen atau pensijilan halal yang sewajarnya boleh menyukarkan pemantauan pihak berkuasa sekali gus meningkatkan risiko ketidakpatuhan terhadap standard halal.

Kelemahan pengawasan bukan sahaja membuka ruang kepada pelanggaran prosedur penyembelihan, malah boleh menjejaskan kebersihan, keselamatan makanan dan keyakinan pengguna terhadap keseluruhan rantaian bekalan ayam halal.

Sehubungan itu, mekanisme semakan dan kawalan yang berkesan perlu dilaksanakan pada setiap peringkat pengedaran termasuk pasar borong, pemborong, pembekal, pengusaha restoran dan peruncit.

Pengusaha makanan tidak seharusnya hanya bergantung kepada harga dan kemudahan mendapatkan bekalan, sebaliknya bertanggungjawab menyemak sumber serta kesahihan status halal pembekal masing-masing.

Pada masa sama, isu berkenaan tidak seharusnya menyebabkan masyarakat hilang keyakinan secara menyeluruh terhadap sistem pensijilan halal Malaysia.

Sebaliknya, kejadian ini perlu menjadi peringatan bahawa kekuatan sistem halal bukan sekadar terletak pada kewujudan logo, sijil atau standard yang ditetapkan, tetapi turut bergantung kepada keberkesanan pelaksanaan, pemantauan, ketelusan dan penguatkuasaan.

Keyakinan pengguna hanya dapat dipelihara apabila setiap pihak dalam rantaian bekalan benar-benar melaksanakan tanggungjawab masing-masing.

Pengguna Muslim juga perlu lebih peka terhadap sumber makanan yang dibeli dengan membiasakan diri menyemak status pensijilan halal melalui saluran rasmi serta melaporkan sebarang keraguan kepada pihak berwajib.

Bagaimanapun, tanggungjawab utama memastikan pematuhan dan penguatkuasaan tetap terletak pada pengusaha serta pihak berkuasa dan tidak boleh dipindahkan sepenuhnya kepada pengguna.

Isu ayam yang tidak disembelih mengikut hukum syarak tidak boleh dikompromikan atas alasan kos operasi, keuntungan perniagaan atau keperluan memenuhi permintaan pasaran.

Bagi umat Islam, halal bukan sekadar pilihan pengguna, sebaliknya tuntutan agama yang mempunyai implikasi terhadap ibadah dan kehidupan seharian.

Justeru, setiap pihak dalam industri makanan perlu memahami bahawa keuntungan tidak boleh mengatasi amanah dalam memastikan makanan yang dibekalkan memenuhi tuntutan syarak.

Halal bukan sekadar apa yang tertera pada label, tetapi amanah yang mesti dipelihara dari ladang hingga ke meja pengguna. — AlHijrah Online

 

Muhammad Afif Zakwan bin Azhar
Penyelidik dan Pensyarah, General Studies Department, Centre for Continuing Education, Sunway College (KL)


Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Dari masyarakat, untuk masyarakat

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top