Connect with us

ALHIJRAH NEWS

PEMBENTUKAN SAHSIAH PERLU BERMULA PADA PERINGKAT PRASEKOLAH

DALAM NEGARA

PEMBENTUKAN SAHSIAH PERLU BERMULA PADA PERINGKAT PRASEKOLAH

Fadhlina berkata melalui Modul Aulad Sejahtera, sebanyak 8,365 murid prasekolah Kementerian Pendidikan (KPM) di Negeri Sembilan, bakal menerima manfaat melalui pendekatan yang memberikan perhatian kepada pembentukan adab, nilai murni, kesejahteraan emosi dan perkembangan sosial mereka.

Gambar Hiasan (Sumber: BERNAMA)

KUALA LUMPUR: Pendidikan nilai dan pembentukan karakter perlu bermula sejak peringkat prasekolah, kata Menteri Pendidikan Datuk Seri Fadhlina Sidek.

Beliau berkata pendidikan yang baik bukan hanya mengenai mengajar anak-anak membaca, menulis dan mengira, sebaliknya mahu mereka membesar sebagai manusia yang tahu menghormati orang lain dan mempunyai empati.

“Usaha ini tentunya memerlukan dukungan ibu bapa, guru dan seluruh masyarakat. Apa yang diajarkan di sekolah perlu terus disuburkan di rumah, kerana anak-anak belajar bukan hanya melalui apa yang kita pesan tetapi juga melalui apa yang mereka lihat setiap hari,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Dalam pada itu, Fadhlina menzahirkan penghargaan atas keprihatinan dan pandangan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, berhubung gejala sosial yang semakin membimbangkan dalam kalangan generasi muda.

“Kebimbangan ini, mengingatkan kita bahawa usaha membentuk keperibadian anak-anak tidak boleh menunggu sehingga mereka meningkat remaja,” katanya.

Sebelum ini, 18 November, Tuanku Muhriz menzahirkan kebimbangan mengenai peningkatan gejala sosial dalam kalangan generasi muda dan ia mendorong kepada pembangunan Modul Aulad Sejahtera sebagai usaha awal membentuk keperibadian, menyemai nilai murni serta memperkukuh jati diri anak-anak bermula pada peringkat prasekolah.

Baginda bertitah modul itu diperkenalkan susulan gejala sosial yang semakin membimbangkan, termasuk penyalahgunaan dadah, kegiatan merempit dan pelbagai perlakuan negatif yang boleh merosakkan masa depan generasi muda.

Sementara itu, Fadhlina berkata melalui Modul Aulad Sejahtera, sebanyak 8,365 murid prasekolah Kementerian Pendidikan (KPM) di Negeri Sembilan, bakal menerima manfaat melalui pendekatan yang memberikan perhatian kepada pembentukan adab, nilai murni, kesejahteraan emosi dan perkembangan sosial mereka.

Beliau turut berharap usaha yang dimulakan di Negeri Sembilan itu dapat menjadi contoh dalam membina generasi berilmu dan beradab. — AlHijrah Online.


Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top