Oleh: Mohd Ezzat Asyiq Azhar
Dalam landskap geopolitik global hari ini, peranan media dalam melaporkan hubungan antarabangsa tidak lagi bersifat neutral. Media bukan sekadar penyampai maklumat, tetapi telah berkembang menjadi ejen penting dalam membentuk persepsi, menentukan legitimasi kuasa, dan mengukuhkan dominasi naratif tertentu. Isu ini menjadi semakin jelas apabila kita meneliti bagaimana hubungan antara China dan negara-negara Timur Tengah diterjemahkan oleh media antarabangsa, khususnya media arus perdana Barat.
Sebagai peserta sesi wacana Komunikasi Antarabangsa di UiTM Shah Alam baru-baru ini, penulis tertarik dengan perbincangan yang dibawa oleh Saudara Nasaie Ismail, yang mengupas media sebagai instrumen kuasa dalam sistem antarabangsa. Perbincangan tersebut membuka ruang refleksi kritikal tentang bagaimana wacana media global sering gagal memberikan gambaran seimbang terhadap kebangkitan China dan hubungannya dengan negara Timur Tengah.
Media dan Politik “Framing” Global
Dalam liputan antarabangsa, konsep news framing memainkan peranan besar. Media memilih sudut, bahasa, dan konteks tertentu untuk menstruktur realiti yang akhirnya diterima oleh masyarakat. Hubungan China–Timur Tengah sering diletakkan melalui lensa kecurigaan. Pelaburan China dilabel sebagai “debt trap diplomacy” (diplomasi perangkap hutang), di mana pengaruh ekonomi dianggap sebagai ancaman keselamatan, dan kehadiran politik China ditafsir sebagai usaha mencabar hegemoni Barat.
Sedangkan hubungan serupa yang dilakukan oleh kuasa Barat sebelum ini jarang dipersoalkan dengan intensiti yang sama. Di sinilah berlakunya selective coverage di mana isu tertentu ditonjolkan, manakala konteks sejarah penjajahan, campur tangan ketenteraan, dan eksploitasi sumber oleh kuasa Barat di Timur Tengah sering diredam atau dinormalisasi.
Dalam hal ini kita dapat lihat bahawa naratif media antarabangsa beroperasi dalam ekosistem kuasa yang tidak bebas nilai. Nasaie menegaskan bahawa liputan berita sering mencerminkan kepentingan geopolitik pemilik media, negara dominan, dan blok kuasa tertentu, bukannya realiti objektif sepenuhnya. Pandangan ini selari dengan pemerhatian penulis terhadap liputan hubungan China–Timur Tengah yang kerap dipersembahkan secara reduktif dan berat sebelah.
China, Timur Tengah dan Soft Power Alternatif
China muncul sebagai rakan strategik kepada banyak negara Timur Tengah melalui inisiatif seperti Belt and Road Initiative (BRI), kerjasama tenaga, pembangunan infrastruktur, dan hubungan diplomatik tanpa syarat ideologi. Pendekatan ini berbeza dengan model Barat yang sering dikaitkan dengan tekanan politik, campur tangan ketenteraan, dan syarat demokrasi liberal.
Namun, media Barat jarang mengangkat perspektif negara-negara Timur Tengah yang melihat China sebagai rakan pembangunan yang pragmatik. Sebaliknya, naratif yang dibina lebih cenderung menggambarkan China sebagai kuasa manipulatif yang menyusup masuk ke rantau strategik.
Saudara Nasaie Ismail dalam wacana turut mengingatkan bahawa soft power tidak hanya datang melalui budaya pop atau propaganda halus, tetapi juga melalui kawalan naratif media. Apabila media global dikuasai oleh pusat-pusat kuasa tertentu, realiti yang sampai kepada khalayak dunia turut dibentuk mengikut kepentingan mereka. Maka, wacana tentang China dan Timur Tengah menjadi medan persaingan naratif, bukan sekadar laporan fakta.
Media Ummah dan Cabaran Kewartawanan Global
Dalam konteks ini, peranan media ummah menjadi semakin penting. Media Islam tidak boleh sekadar menjadi pengguna pasif kepada agensi berita antarabangsa yang berpusat di Barat. Ketergantungan kepada sumber tunggal berisiko menyebabkan masyarakat Islam menerima realiti geopolitik yang telah ditapis dan dibingkaikan secara tidak adil.
Antara sesi wacana, media di negara membangun dan dunia Islam perlu membina keupayaan analisis sendiri, termasuk memahami struktur kuasa global yang mempengaruhi aliran maklumat. Media ummah perlu berani mempersoalkan mengapa isu tertentu diberi perhatian berlebihan, manakala penderitaan, aspirasi, dan pilihan strategik negara-negara Muslim sering dipandang sinis.
Ini bukan bermakna media Islam perlu menjadi alat propaganda kuasa alternatif. Sebaliknya, ia menuntut kewartawanan yang lebih beretika, adil, dan berpaksikan prinsip kebenaran. Dalam Islam, amanah menyampaikan maklumat menuntut keadilan, konteks, dan usaha memahami realiti secara menyeluruh, bukan sekadar mengulang naratif dominan.
Kesedaran Media sebagai Tanggungjawab Masyarakat
Akhirnya, isu dominasi naratif dalam hubungan China–Timur Tengah bukan hanya tanggungjawab wartawan dan organisasi media, tetapi juga masyarakat sebagai pengguna maklumat. Khalayak perlu dididik untuk membaca berita secara kritikal, mengenali kecenderungan media dalam isu antarabangsa, dan mempersoalkan siapa yang mendapat manfaat daripada sesuatu naratif.
Seperti yang ditekankan dalam sesi wawancara tersebut, kesedaran media adalah sebahagian daripada literasi geopolitik. Tanpa kesedaran ini, masyarakat mudah terperangkap dalam persepsi yang dibentuk oleh kuasa luar, seterusnya melemahkan keupayaan ummah untuk memahami realiti global secara adil dan berdaulat.
Dalam dunia yang semakin multipolar, media ummah mempunyai peluang besar untuk menawarkan perspektif alternatif yang lebih seimbang, berakar pada nilai keadilan dan kemanusiaan sejagat. Hubungan China–Timur Tengah wajar dilihat sebagai fenomena geopolitik kompleks yang memerlukan analisis mendalam, bukan sekadar naratif hitam-putih yang menguntungkan satu pihak sahaja.
Kesedaran inilah yang perlu terus dipupuk, dimana dalam setiap berita antarabangsa, tersembunyi struktur kuasa, kepentingan strategik, dan pertarungan naratif yang menuntut pembacaan yang lebih kritis dan beretika kepada masyarakat.
Penulis adalah Penerbit Kanan Hal Ehwal Semasa, TV Alhijrah.
Penafian: Artikel yang disiarkan AlHijrah Online ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak menggambarkan pendirian Editorial AlHijrah Media Corporation dalam isu yang dikupas.