KUALA LUMPUR: Jenazah pelakon Nadia Kesuma atau Nadiah Kasumawati Abdul Karim, 50, telah selamat dikebumikan di Jeddah, Arab Saudi, sekitar jam 6 pagi waktu Arab Saudi.
Suaminya Muhammad Kamarul Kabilan berkata, jenazah Allahyarham sempat dimandikan oleh anak perempuan mereka bersama rakan Allahyarham sebelum disembahyangkan lebih 500 jemaah di Masjid Althaniyan.
“Jenazah sudah dimandikan oleh anak kami, Sarah dan kawan arwah, dan sudah disembahyangkan yang diimamkan sendiri oleh saya, Alhamdulillah,” katanya menerusi hantaran Facebook, hari ini.
Terdahulu, Muhammad Kamarul dan anaknya berlepas ke Arab Saudi selepas mendapat berita mengenai pemergian isterinya pada Ahad 18 Jan.
Sebelum ini, desas-desus kehilangan Nadia Kesuma selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz, Jeddah, terjawab selepas dia dilaporkan sudah meninggal dunia pada Khamis 15 Januari lepas.
Perkara tersebut disahkan oleh suaminya Muhammad Kamarul Kabilan, yang memaklumkan isterinya meninggal dunia akibat sakit jantung.
Sebelum ini, Allahyarham dilaporkan hilang tanpa dapat dikesan selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz, Jeddah pada Rabu lalu.
Sementara itu, Kementerian Luar mengesahkan Allahyarham telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Dhahban di Jeddah, Arab Saudi pada 7.35 pagi waktu tempatan.
Kementerian memaklumkan bahawa Kedutaan Besar Malaysia di Riyadh dan Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah, telah bekerjasama rapat dengan waris terdekat serta pihak berkuasa tempatan bagi memudahkan dan menyelaras semua urusan berkaitan pengebumian.
Kementerian itu turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak terlibat, khususnya kerajaan Arab Saudi, Hospital King Fahd dan agensi berkaitan lain atas bantuan yang diberikan.
Nadiah, yang lebih dikenali sebagai Nadia Kesuma, menyertai pakej lawatan Umrah-London-Paris dan dilaporkan meninggal dunia akibat serangan jantung di Jeddah pada Khamis lalu – iaitu pada hari yang sama beliau dilaporkan hilang.–AlHijrah Online