DALAM NEGARA
EMPAT TAHUN MADANI: MEMARTABAT ISLAM, MENGANGKAT NEGARA
Sudah berusia empat tahun Kerajaan MADANI. Sejauh manakah Islam telah dimartabatkan kerajaan ini? Daripada kebangkitan tradisi keilmuan, pemerkasaan institusi agama hingga kecemerlangan ekonomi Islam, rencana ini menelusuri usaha membangunkan umat dan mengangkat kewibawaan Malaysia di persada dunia.

Pada malam 23 November lalu, Masjid Putra dibanjiri ribuan manusia. Mereka datang dari pelbagai pelosok tanah air, duduk berjam-jam menadah ilmu daripada para ulama dalam sebuah majlis pengajian hadis yang berlangsung selama 11 hari.
Pemandangan itu cukup menarik kerana di Putrajaya, sebuah kota yang dibangunkan sebagai pusat kekuasaan dan pentadbiran negara, tradisi keilmuan Islam kembali menemukan tempatnya di sela-sela kehidupan masyarakat.
Peristiwa tersebut merupakan antara gambaran terbaik untuk kita memahami sebahagian daripada perjalanan empat tahun Kerajaan MADANI dalam mengangkat kedudukan Islam di Malaysia.
Sejak sekian lama, perbahasan mengenai kedudukan Islam dalam politik tanah air begitu sarat dengan polemik. Kesungguhan sesebuah kerajaan dalam memperjuangkan agama sering diukur melalui ketegasan kenyataan politik, sehingga kadangkala terlepas pandang kerja-kerja besar pembangunan umat yang menuntut kebijaksanaan dan perancangan jangka panjang.
Sedangkan dalam sejarah peradaban Islam, kebesaran sesebuah pemerintahan turut dikenang melalui kemajuan ilmu, kemakmuran ekonomi, keadilan dan kesejahteraan rakyat di bawah naungannya.
Atas ukuran tersebut, empat tahun pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim memberikan kita ruang untuk menilai sejauh mana Islam telah dimartabatkan dan bagaimana agama ini mempunyai sumbangan dalam mengangkat kedudukan Malaysia.
MEMBANGUNKAN UMAT MELALUI INSTITUSI
Ketika membentangkan belanjawan pertamanya pada 2023, Kerajaan MADANI memperuntukkan RM1.5 bilion bagi hal ehwal Islam. Angka itu meningkat kepada RM2 bilion pada 2025 dan RM2.6 bilion pada 2026, sebelum RM3.1 bilion diumumkan menerusi Belanjawan MADANI 2027.
Dalam empat tahun, peruntukan tahunan yang diumumkan bagi pembangunan Islam telah meningkat lebih dua kali ganda.
Namun, ada perkara yang lebih menarik untuk diperhatikan di sebalik angka-angka tersebut, khususnya perubahan cara kerajaan melihat kebajikan manusia yang selama ini menggerakkan syiar Islam di tengah-tengah masyarakat.
Ambil sahaja contoh seorang imam di kampung. Selain mengimamkan solat, kepadanya juga masyarakat merujuk pelbagai urusan kehidupan bermula persoalan rumah tangga hinggalah pengurusan kematian. Begitu juga guru takmir, bilal dan marbut yang mengabdikan sebahagian besar waktu mereka kepada masyarakat.
Mereka memikul amanah yang cukup besar sedangkan jaminan kebajikan golongan ini masih memerlukan perhatian.
Lantaran itu, keputusan kerajaan untuk menanggung sepenuhnya caruman PERKESO bagi 40,000 petugas agama menerusi Belanjawan MADANI 2027 wajar diraikan.
Kita sering berbicara tentang kemuliaan tugas mereka namun gagal menterjemahkannya melalui jaminan kehidupan yang lebih baik.

Dalam urusan pentadbiran Islam pula, pengenalan Pelan Transformasi Al-Falah 2023–2027 yang menyelaraskan hala tuju 14 agensi hal ehwal agama merupakan sebahagian daripada usaha memperkemas pengurusan institusi Islam di peringkat Persekutuan.
MENGEMBALIKAN KEMULIAAN ILMU
Dalam zaman masyarakat memperoleh kefahaman agama melalui potongan video berdurasi beberapa saat, usaha membawa umat kembali kepada tradisi menadah ilmu, berguru dan menekuni kitab memiliki kepentingan tersendiri.
Penganjuran Majlis Sama’ Hadis Sahih al-Bukhari pada 2024, Sahih Muslim pada 2025, disusuli Jami’ al-Tirmidhi dan al-Syamail al-Muhammadiyyah pada tahun ini memperlihatkan kesinambungan usaha menghidupkan tradisi tersebut.
Begitu juga dengan Festival Turath Islami Malaysia 2026 serta perhimpunan para ulama dan cendekiawan dari pelbagai negara.
Malaysia mempunyai potensi besar untuk menjadi salah sebuah pusat keilmuan Islam yang disegani dunia sebagaimana kota-kota ilmu yang berkembang di wilayah Nusantara suatu ketika dahulu.

Kita juga tidak harus melupakan institusi pondok dan madrasah yang mempunyai jasa cukup besar dalam sejarah bangsa ini. Ketika penjajahan menguasai sebahagian besar dunia Melayu, institusi inilah yang antara lainnya mempertahankan akidah, membentuk pemikiran dan melahirkan golongan berilmu dalam masyarakat.
Maka, pengumuman penubuhan Majlis Penasihat Pondok dan Turath Malaysia serta peruntukan RM200 juta kepada institusi pondok, tahfiz dan sekolah agama rakyat menerusi Belanjawan MADANI 2027 mempunyai kepentingan tersendiri.
Lebih menarik apabila kerajaan turut mengumumkan kerjasama JAKIM dengan MDEC bagi menyediakan peranti dan latihan kemahiran digital kepada guru serta pelajar di lebih 300 sekolah pondok.
Sudah sampai masanya kita membebaskan institusi pendidikan tradisional daripada tanggapan bahawa pengajian kitab dan kemajuan teknologi berada pada dua dunia yang berasingan.

Sejarah telah memperlihatkan bagaimana penguasaan ilmu agama berjalan seiring dengan perkembangan pelbagai cabang ilmu sehingga memungkinkan umat Islam membina sebuah peradaban besar seperti di Baghdad, Khurasan dan Al-Andalus.
MENGANGKAT NEGARA MELALUI ISLAM
Dalam keghairahan kita berbicara tentang pemeliharaan syiar Islam, terdapat satu lagi sisi kejayaan Malaysia yang kurang diberikan perhatian iaitu bagaimana Islam menjadi sumber kekuatan ekonomi dan kewibawaan negara.
Malaysia mengekalkan kedudukan teratas dalam Petunjuk Ekonomi Islam Global selama 12 tahun berturut-turut, sementara eksport halal negara pada 2025 mencecah RM68.52 bilion.
Dalam bidang kewangan Islam, Malaysia turut mengekalkan kedudukan pertama dalam Islamic Finance Development Indicator 2026 untuk tahun ke-14 berturut-turut.
Tentunya tidak adil untuk menyandarkan keseluruhan kejayaan tersebut kepada Kerajaan MADANI semata-mata. Asasnya telah dibina sejak beberapa dekad lalu melalui usaha pelbagai pentadbiran.
Siapa sangka bahawa tuntutan agama mengenai halal dan haram akhirnya dapat berkembang menjadi sebuah industri bernilai puluhan bilion ringgit, sekali gus meletakkan Malaysia pada kedudukan yang cukup dihormati dalam perdagangan antarabangsa?
Begitu juga dengan kewangan Islam. Di sebalik kecanggihan produk perbankan dan pasaran modal, terdapat tanggungjawab untuk memastikan kekayaan beredar dalam masyarakat dan golongan miskin memperoleh peluang memperbaiki kehidupan.
Pengembangan program kewangan sosial Islam seperti iTEKAD yang sehingga Jun 2026 telah melibatkan 15,117 usahawan mikro dengan penyaluran dana sebanyak RM97.3 juta, menunjukkan sebahagian daripada potensi tersebut.
Dalam membicarakan pencapaian institusi Islam negara, Lembaga Tabung Haji (TH) tentunya tidak boleh dikesampingkan.
Pada musim haji 2026, Malaysia sekali lagi menerima Anugerah Labaytum daripada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi buat kali kelima berturut-turut, selain mempertahankan pengiktirafan tertingginya, Anugerah Diamond untuk tahun kedua.
Bayangkan, daripada sekian banyak negara yang menguruskan perjalanan jutaan umat Islam ke Tanah Suci setiap tahun, Malaysia muncul sebagai antara negara yang dijadikan rujukan dalam pengurusan ibadah haji.

Di sebalik kecemerlangan tersebut, terdapat satu amanah yang jauh lebih besar iaitu memastikan wang simpanan jutaan umat Islam diuruskan dengan penuh integriti.
Keputusan kerajaan mendedahkan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan pengurusan dan operasi TH kepada umum pada Julai 2026 sebelum dibahaskan di Parlimen pada Ogos, membuka ruang untuk salah urus terdahulu diteliti secara terbuka.
Setakat 4 November lalu, TH telah melaksanakan 13 daripada 17 syor RCI di bawah tanggungjawabnya, manakala pindaan Akta Tabung Haji 1995 bagi memperkukuh tadbir urus institusi berkenaan masih dalam penelitian.
Dari sudut kewangan, TH mencatatkan agihan keuntungan sebanyak 3.50 peratus bagi tahun kewangan 2025, kadar tertinggi dalam tempoh lapan tahun, melibatkan RM3.22 bilion kepada lebih 9.7 juta pendeposit.
Bagi seorang petani, penjaja atau pesara yang menyisihkan sedikit daripada pendapatannya setiap bulan demi menjejakkan kaki ke Baitullah, setiap ringgit yang disimpan membawa bersamanya sebuah cita-cita.
Memelihara simpanan mereka bererti memelihara impian umat. Justeru, usaha memperbetulkan kelemahan TH perlu diteruskan sehingga amanah sebesar itu benar-benar terlindung daripada penyalahgunaan kuasa.
Di peringkat antarabangsa, ketegasan Malaysia dalam memperjuangkan nasib rakyat Palestin turut memberi makna kepada kedudukan Islam dalam dasar luar negara.
Pendirian tersebut diterjemahkan melalui usaha diplomatik, bantuan kemanusiaan dan kesediaan membawa pesakit Palestin ke Malaysia bagi mendapatkan rawatan.

Kita, mungkin sebuah negara kecil dalam percaturan kuasa dunia tetapi sangat besar dalam mempertahankan prinsip keadilan.
KERAJAAN DATANG DAN PERGI, TAPI LEGASI HARUS TERUS BERDIRI
Setelah empat tahun, mengiktiraf pencapaian sesebuah kerajaan sama sekali tidak bererti kita perlu berhenti menuntut sesuatu yang lebih baik daripadanya.
Masih terdapat persoalan kemiskinan dalam kalangan umat Islam, ketirisan dalam pengurusan kekayaan, rasuah, mutu pendidikan dan pelbagai bahana sosial yang menuntut perhatian serius.
Firman Allah SWT dalam Surah al-Nisa’, ayat 58,
“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.”
Jika pemerintah bersungguh-sungguh memelihara kesucian agama, kesungguhan yang sama harus diperlihatkan dalam menjaga wang rakyat, membanteras rasuah, membela pekerja dan menjamin keadilan kepada setiap warganegara.
Seorang rakyat yang tidak beragama Islam sekalipun seharusnya dapat merasai kebaikan daripada sebuah pemerintahan yang menjunjung nilai Islam.
Kerajaan datang dan pergi. Yang tinggal kelak ialah institusi yang dibangunkan serta perwarisan ilmu dan taraf kehidupan rakyat yang berjaya diperbaiki.
Alangkah besarnya legasi sebuah pemerintahan sekiranya suatu hari nanti, generasi mendatang mengenang zaman ini sebagai suatu zaman ketika Islam diangkat martabatnya sehingga seluruh bangsa menikmati kebaikan daripada nilai-nilainya. — AlHijrah Online.
Related
Discover more from ALHIJRAH NEWS
Subscribe to get the latest posts sent to your email.
