
KUALA LUMPUR: Isu penyembelihan haiwan yang tidak mengikut prosedur ditetapkan bukan sekadar membangkitkan persoalan hukum halal dan haram, malah berpotensi mengundang risiko kesihatan kepada pengguna sekiranya daging berkenaan tidak dikendalikan dengan selamat.
Pegawai Perubatan, Muhamad Aman Embok Halid berkata, antara risiko utama yang perlu diberi perhatian ialah pencemaran bakteria seperti Salmonella, Campylobacter, E. coli dan Listeria monocytogenes.
Menurut beliau, jangkitan bakteria berkenaan boleh menyebabkan gejala seperti demam, cirit-birit, muntah-muntah dan najis berdarah.
Malah, dalam keadaan lebih serius, ia boleh mengakibatkan dehidrasi teruk sehingga menyebabkan kerosakan buah pinggang serta jangkitan kuman dalam darah.
“Risiko pertama adalah risiko yang kita kuman dan keracunan makanan daripada kuman salmonella, campylobacter, e. coli dan juga listeria monocytogenes yang akan menghasilkan gejala seperti demam, cirit-birit, muntah-muntah ataupun berak berdarah dan komplikasinya boleh menyebabkan dehidrasi teruk sehingga menyebabkan kerosakan buah pinggang dan jangkitan kuman di dalam darah,” katanya.
Beliau turut menjelaskan, pengguna berdepan risiko jangkitan zoonotik iaitu penyakit yang boleh merebak daripada haiwan kepada manusia, termasuk bruselosis dan tuberkulosis bovin.
Selain itu, haiwan yang telah mati sebelum disembelih dan tidak disimpan dalam keadaan bersesuaian boleh mengalami proses pereputan yang menggalakkan pertumbuhan bakteria serta penghasilan toksin, sekali gus meningkatkan risiko keracunan makanan.
Sehubungan itu, pengguna dinasihatkan mendapatkan bekalan daging daripada sumber yang dipercayai, menyemak status pensijilan halal serta memeriksa keadaan fizikal daging dari segi warna, tekstur dan bau sebelum membeli.
Makanan haram boleh menjejaskan kehidupan Muslim.
Dalam pada itu, Pendakwah Bebas, Nur Aqidah Mawardi berkata, aspek penyembelihan perlu diberikan perhatian serius kerana ia melibatkan pematuhan rukun dan syarat sah sembelihan menurut syariat Islam.
Menurutnya, pengusaha perlu memahami tanggungjawab dan amanah dalam memastikan setiap proses penyembelihan dilaksanakan mengikut ketetapan agama, bukannya mengutamakan keuntungan semata-mata.
“Jangan sekali-kali kita mengkhianati amanah yang telah diberikan dan jangan sampai kita nak mengaut segala keuntungan-keuntungan yang batil, kita jadi orang yang gelap mata. Jangan sampai kita menjadi asbab orang lain memakan makanan yang haram,” katanya.
Tambah beliau, pengambilan makanan haram juga boleh memberi kesan kepada kehidupan seseorang Muslim, termasuk menjadi antara faktor doa sukar dimakbulkan, akhlak terjejas serta hati menjadi keras untuk menerima nasihat.
Beliau turut mengingatkan umat Islam supaya lebih cakna terhadap sumber makanan dengan mengutamakan premis yang mempunyai pensijilan halal sah, selain meninggalkan sumber yang diragui dan melaporkan sebarang kegiatan mencurigakan kepada pihak berkuasa.
Terdahulu, polis menerusi Op Salju membongkar kegiatan lapan pusat penyembelihan haram di lima negeri yang dipercayai beroperasi antara 2022 hingga 2026.
Serbuan itu turut mendedahkan penggunaan kaedah penyembelihan yang tidak mematuhi syarak, sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap integriti rantaian bekalan halal negara.
Pendedahan berkenaan mengingatkan pengguna bahawa aspek keselamatan makanan dan pematuhan syariah perlu diberikan perhatian dalam memastikan bekalan makanan yang bukan sahaja selamat, malah memenuhi konsep “halalan toyyiban”.–AlHijrah Online