
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjangka melakukan beberapa lagi tangkapan susulan siasatan kes penyeludupan dadah yang membabitkan penggunaan aset ketenteraan negara.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, siasatan kes berkenaan masih diteruskan.
“Siasatan belum terhenti dan kita akan ada lagi (tangkapan),” katanya pada sidang media selepas pelancaran Sidang Kemuncak dan Ekspo Keselamatan Antarabangsa Asia (AIESE27) di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini hari ini.
Berdasarkan taklimat terkini Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail, seramai 13 individu telah ditahan setakat ini terdiri daripada tujuh pegawai dan anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) serta enam orang awam.
Saifuddin Nasution berkata, beliau turut dijadual menjawab soalan berkaitan isu berkenaan pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) di Parlimen, Khamis ini.
Sindiket penyeludupan dadah itu terbongkar selepas 96.64 kilogram dadah disyaki methamphetamine bernilai RM4.83 juta serta 6.98 kilogram bahan kimia ditemukan ketika pemeriksaan rutin terhadap barangan yang akan dimuatkan ke dalam pesawat TUDM di Pangkalan Udara Subang baru-baru ini.
Dalam perkembangan berasingan, Saifuddin Nasution menyifatkan usaha menerapkan integriti dalam kalangan penguat kuasa mula membuahkan hasil susulan penahanan seorang pegawai Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) semalam.
“Kita jangan ingat seruan berterusan (mengenai integriti) masuk telinga kanan dan keluar telinga kiri. Ini suatu contoh bagaimana anggota kita menghayati nasihat dan seruan kita,” katanya.
Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain sebelum ini mengesahkan penahanan seorang pegawai agensi itu berusia 40-an susulan aduan seorang pegawai wanita berhubung dakwaan salah laku membabitkan pegawai atasannya. — AlHijrah Online