
KUALA KUBU BHARU: Seramai 20 pasangan pengantin daripada komuniti Orang Asli diraikan menerusi Program Menantumu Menantuku Jua 3.0 2026 di Dewan Muktamar Darul Quran, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), hari ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berkata, penyertaan 40 individu dalam program itu mencerminkan peningkatan kepercayaan masyarakat Orang Asli terhadap inisiatif yang digerakkan agensi kerajaan bersama rakan bukan kerajaan.
“Program seumpama ini membuka ruang yang amat bermakna untuk merapatkan hubungan, membina persefahaman serta memperkukuh semangat kebersamaan antara komuniti Orang Asli dengan masyarakat umum,” katanya ketika berucap merasmikan program itu.
Dalam pada itu, Zulkifli turut berpesan kepada pasangan yang diraikan agar menjadikan ketenangan (sakinah), kasih sayang (mawaddah) dan belas ihsan (rahmah) sebagai asas kehidupan berumah tangga.
Menurutnya, perasaan suka dan tarikan terhadap pasangan boleh berubah seiring dengan peredaran waktu, keadaan serta peningkatan usia.
“Sesungguhnya, keluarga yang dibina atas dasar rahmah akan melahirkan kasih sayang yang tidak mudah terhakis oleh perubahan usia, keadaan fizikal, kedudukan mahupun harta.
“Apabila kasih sayang disertai rahmah, kita tidak hanya mencintai pasangan ketika dia berada dalam keadaan terbaik, tetapi tetap menghargainya ketika dia berada dalam keadaan paling lemah,” katanya.
Beliau turut menekankan kepentingan suami isteri untuk bersabar dengan kekurangan pasangan, memaafkan kesilapan, bertutur dengan lembut ketika marah serta tidak membiarkan ego mengatasi kasih sayang.
Program anjuran Bahagian Dakwah, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Pejabat Agama Islam Daerah Hulu Selangor bersama rakan strategik itu merupakan antara inisiatif membantu pasangan membina kehidupan baharu serta memperkukuh kesejahteraan institusi keluarga. — AlHijrah Online