BANDARAYA GAZA: Ratusan kanak-kanak Palestin yang kehilangan tempat tinggal berkumpul di Sekolah Turki di Bandaraya Gaza pada Khamis, merayu masyarakat dunia supaya menjamin hak mereka terhadap pendidikan, kesihatan dan keselamatan menjelang Hari Kanak-Kanak Sedunia, lapor Anadolu Ajansi.
Perhimpunan solidariti itu berlangsung di sekolah berkenaan, dengan keluarga yang kehilangan tempat tinggal berlindung di khemah berhampiran, bertujuan menarik perhatian terhadap kesan mendalam peperangan Israel dari segi kemanusiaan, psikologi dan pendidikan terhadap kanak-kanak yang membesar di wilayah itu.
Halaman sekolah itu dihiasi dengan bendera Palestin dan Turkiye serta sepanduk Yayasan Bantuan Kemanusiaan Turkiye (IHH), manakala kanak-kanak memakai pakaian tradisional Palestin yang bersulam, keffiyeh dan pakaian seragam sekolah.
Peserta mempamerkan sepanduk dan lukisan dalam pelbagai bahasa yang menyuarakan tuntutan mereka untuk mendapatkan perlindungan serta hak terhadap pendidikan, penjagaan kesihatan, keselamatan dan kehidupan bermaruah.
Acara itu turut menampilkan ucapan, nyanyian dan persembahan yang menyaksikan kanak-kanak merayu masyarakat dunia supaya berdiri bersama mereka dan tidak melupakan penderitaan yang dialami.
Pelajar Palestin Maria Daher memberitahu Anadolu bahawa ratusan kanak-kanak bersekolah di Sekolah Turki dan tinggal di khemah berhampiran.
“Kami menyampaikan mesej kepada dunia supaya mereka melihat siapa sebenarnya kanak-kanak Gaza. Mereka ialah kanak-kanak yang serba kekurangan, kelaparan, menderita akibat kesejukan dan pelbagai kesusahan lain,” katanya.
“Kanak-kanak Gaza mahukan hak mereka terhadap pendidikan, kesihatan, keselamatan dan kehidupan yang bermaruah.”
“Kanak-kanak Palestin berhak hidup dalam keadaan selamat dan bebas, manakala kanak-kanak Gaza berhak untuk belajar, bermain dan hidup dengan selamat,” katanya.
“Pada Hari Kanak-Kanak Sedunia, jangan lupakan kami,” tambahnya.
Guru Palestin Nahla Shehab pula memberitahu Anadolu bahawa ratusan kanak-kanak yang kehilangan tempat tinggal dan menetap di khemah berhampiran sekolah itu menyertai acara berkenaan.
“Kanak-kanak ini telah mengharungi keadaan yang amat sukar sepanjang tiga tahun lepas, termasuk pengeboman, kelaparan, ketakutan dan penafian hak paling asas mereka sebagai kanak-kanak,” katanya.
“Hari ini, kanak-kanak ini memandang dunia dengan penuh harapan, menantikan sinar kebebasan dan hari esok yang cerah, sambil berharap suatu hari nanti dunia akan memberikan perhatian terhadap hak mereka,” katanya.
Hari Kanak-Kanak Sedunia disambut setiap tahun pada 20 Nov.
Pada Khamis, Kementerian Pendidikan Palestin memaklumkan bahawa lebih 21,000 kanak-kanak telah terkorban di Semenanjung Gaza sejak Oktober 2023 akibat serangan genosid Israel, manakala puluhan ribu lagi cedera.
Sejak Oktober 2023, serangan genosid Israel di Gaza telah mengorbankan lebih 74,000 rakyat Palestin dan mencederakan lebih 175,000 yang lain, dengan kebanyakan mangsa terdiri daripada wanita dan kanak-kanak, manakala kira-kira 90 peratus infrastruktur di wilayah itu musnah.–BERNAMA