Connect with us

ALHIJRAH NEWS

KOPIAH & NASYID: MAMPU KEMBALI MENJADI IKUTAN ANAK MUDA?

DALAM NEGARA

KOPIAH & NASYID: MAMPU KEMBALI MENJADI IKUTAN ANAK MUDA?

Kita selalu bercakap tentang bagaimana nak menjadikan muzik nasyid kembali popular dalam kalangan generasi muda.

Kita bercakap tentang genre muzik, susunan lagu, platform digital, media sosial dan pelbagai strategi pemasaran. Semua itu penting.

Tetapi mungkin kita juga perlu kembali melihat aspek fesyen, imej dan gaya hidup yang pernah menjadi sebahagian daripada kekuatan industri nasyid.

Oleh: Muhammad Hazamin Harun

Saya nak sembang sikit pasal kopiah.

Tapi sebelum itu, saya nak buat disclaimer dulu. Saya langsung tak menghalang atau mengatakan salah kalau ada penyanyi atau kumpulan nasyid yang memilih untuk tidak memakai kopiah. Saya sangat faham tujuan dan sebab mereka memilih imej sedemikian. Malah, kumpulan Zayne yang ditubuhkan di bawah Inteam Records sendiri pun tidak memakai kopiah.

Jadi, tulisan ini bukan nak menyalahkan sesiapa. Jauh sekali nak mengatakan penasyid yang berkopiah lebih baik daripada yang tidak berkopiah.

Saya cuma nak berkongsi satu sudut pandangan yang mungkin menarik untuk kita fikir dan sembangkan bersama.

KOPIAH PERNAH JADI TREND!

Saya rasa sangat bertuah kerana zaman remaja saya dahulu merupakan zaman ketika muzik nasyid sedang berada di puncak populariti.

Waktu itu, nasyid bukan sekadar satu genre muzik. Nasyid adalah satu fenomena!

Kumpulan seperti Raihan, Rabbani, Hijjaz dan banyak lagi bukan sahaja popular dengan lagu-lagu mereka, tetapi turut membawa imej dan gaya berpakaian yang tersendiri.

Dan antara yang paling menarik, kopiah pun boleh jadi satu trend!

Dulu ada kopiah Raihan, kopiah Hijjaz, kopiah Rabbani dan macam-macam lagi. Kopiah pun ada jenama mengikut kumpulan nasyid. Baju pun sama. Saya masih ingat bagaimana baju Raihan pernah menjadi antara pakaian yang diminati ramai.

Bayangkan, ketika itu nama kumpulan nasyid bukan sahaja boleh menjual kaset dan CD, tetapi boleh juga menjual fesyen!

Kami yang membesar pada zaman itu tak rasa pelik atau segan pun nak pakai kopiah. Sebab kopiah ketika itu nampak bergaya. Ada identiti. Ada pengaruh daripada artis yang kami minati.

Budak-budak muda pun pakai kopiah dengan penuh keyakinan.

Tapi sekarang, saya perhatikan ada anak-anak kita yang nak pakai kopiah pun rasa segan. Ada yang hanya pakai ketika pergi sekolah agama atau ketika ada program tertentu sahaja.

Saya terfikir juga, kenapa ya?

Adakah kopiah itu sendiri sudah tidak menarik? Atau sebenarnya kita sudah kehilangan ikon yang boleh menjadikan kopiah kembali menarik dalam kalangan anak muda?

MUZIK BUKAN SEKADAR MUZIK

Kalau kita perhatikan industri hiburan dunia, ada satu perkara yang sangat menarik.

Muzik sebenarnya tidak pernah bergerak sendirian.

Muzik datang bersama fesyen, imej dan gaya hidup.

Lihat sahaja bagaimana artis K-pop membina pengaruh mereka. Peminat bukan sekadar mendengar lagu, tetapi turut mengikuti gaya rambut, pakaian, aksesori dan macam-macam lagi.

Begitu juga dengan genre muzik lain. Rock ada identitinya. Hip-hop ada fesyennya. Malah, setiap era muzik popular mempunyai gaya dan budaya tersendiri.

Sebab itulah saya selalu melihat industri muzik sebagai satu pakej yang lengkap.

Music + Fashion + Lifestyle.

Dan menariknya, nasyid sebenarnya pernah mempunyai ketiga-tiga elemen ini!

Kita ada muzik yang popular. Kita ada fesyen yang menjadi ikutan. Kita juga ada gaya hidup yang dibawa oleh artis-artis nasyid sehingga mempengaruhi peminat.

Cuma pada pandangan saya, dalam perkembangan industri nasyid hari ini, kita mungkin telah kehilangan sebahagian daripada pakej tersebut.

Muzik masih ada. Artis masih ada. Lagu-lagu baharu juga terus dihasilkan.

Tetapi bagaimana dengan identiti fesyen dan gaya hidup yang pernah menjadi kekuatan nasyid suatu ketika dahulu?

BOLEHKAH KOPIAH JADI TREND SEMULA?

Sebenarnya saya ada satu keinginan.

Saya teringin nak tengok muncul satu kumpulan nasyid generasi baharu yang tampil dengan imej berkopiah, tetapi membawa muzik yang benar-benar moden dan dekat dengan jiwa remaja hari ini.

Bayangkan sebuah kumpulan nasyid muda dengan susunan muzik kontemporari, produksi yang berkualiti, persembahan yang segar dan penampilan yang bergaya.

Tetapi mereka tetap menjadikan kopiah sebagai sebahagian daripada identiti kumpulan.

Bukan semestinya kopiah dengan gaya lama. Mungkin boleh diteroka rekaan baharu, padanan pakaian yang lebih kreatif atau konsep fesyen yang sesuai dengan cita rasa generasi sekarang.

Saya tertanya-tanya juga. Adakah imej sebegini masih sesuai?

Adakah remaja hari ini boleh menerima kumpulan nasyid yang berkopiah tetapi menyanyikan lagu-lagu dengan muzik yang moden?

Atau adakah kita sendiri yang terlalu cepat membuat andaian bahawa anak muda sudah tidak berminat dengan imej sedemikian?

Saya tak ada jawapan yang pasti.

Tapi saya rasa menarik kalau ada yang berani mencubanya.

PAKAIAN ITU JUGA SATU BRANDING

Satu lagi perkara yang saya belajar sepanjang berada dalam industri ini ialah kepentingan imej.

Bagi saya, pakaian seorang artis bukan sekadar pakaian.

Apabila sesuatu kumpulan mempunyai gaya dan ciri fesyen yang tersendiri, pakaian itu sebenarnya sudah menjadi sebahagian daripada kostum persembahan dan identiti jenama mereka.

Saya nak kongsi satu pengalaman ketika kami Inteam berada di Toronto, Kanada.

Ketika itu, kami memakai busana Melayu lengkap.

Bagi kita orang Malaysia, pakaian tersebut mungkin sesuatu yang biasa. Tetapi bagi masyarakat di sana, penampilan kami kelihatan asing, berbeza dan unik.

Apa yang menarik, sepanjang kami berada di sana, ramai orang datang mendekati kami dan meminta untuk bergambar bersama.

Bukan sebab mereka kenal Inteam.

Bukan juga sebab mereka tahu kami penyanyi nasyid dari Malaysia.

Tetapi semata-mata kerana pakaian kami menarik perhatian mereka!

Daripada situ saya semakin sedar bahawa fesyen sebenarnya mempunyai kuasa untuk menarik perhatian orang, walaupun sebelum mereka mengenali siapa kita.

Kadang-kadang, orang tertarik dengan penampilan kita dahulu sebelum mereka berminat untuk mengetahui apa yang kita lakukan.

Dalam dunia hiburan, perkara ini sangat penting.

Kalau sebuah kumpulan mempunyai imej yang tersendiri, orang boleh mengenali mereka hanya melalui penampilan.

Tetapi kalau kita berpakaian sama sahaja seperti orang awam, mungkin agak sukar untuk orang membezakan kita sebagai sebuah kumpulan muzik yang mempunyai identiti komersial.

Sudah tentu bukan bermakna artis mesti berpakaian pelik atau berlebihan. Tetapi mempunyai gaya yang tersendiri sebenarnya satu kelebihan dalam membina jenama.

Dan bagi saya, kopiah boleh menjadi salah satu elemen tersebut.

KITA TAK SEMESTINYA PERLU TINGGALKAN IDENTITI LAMA UNTUK JADI MODEN

Saya percaya muzik nasyid perlu terus berkembang.

Kita tak boleh mengharapkan generasi hari ini mendengar muzik dengan cita rasa yang sama seperti 20 atau 30 tahun dahulu.

Muzik perlu berubah mengikut perkembangan zaman. Begitu juga cara persembahan, pemasaran dan pendekatan kepada peminat.

Tetapi dalam usaha menjadi moden, adakah kita perlu meninggalkan semua identiti yang pernah menjadikan nasyid itu unik?

Saya rasa tidak semestinya.

Mungkin ada perkara lama yang sebenarnya masih mempunyai nilai, cuma perlu diberikan nafas baharu.

Dan mungkin kopiah adalah salah satu daripadanya.

Saya bukan mencadangkan semua kumpulan nasyid mesti kembali memakai kopiah. Setiap kumpulan tentu mempunyai konsep, sasaran peminat dan strategi penjenamaan masing-masing.

Cuma saya teringin melihat kepelbagaian imej dalam industri nasyid kita.

Kalau ada kumpulan yang memilih imej moden tanpa kopiah, silakan. Kalau ada yang memilih imej tradisional, teruskan.

Tetapi alangkah menariknya kalau muncul pula kumpulan nasyid muda yang berjaya menjadikan kopiah sebagai satu fesyen yang kembali diminati.

Sampai satu tahap, anak-anak muda bukan memakai kopiah kerana diwajibkan oleh sekolah atau diminta oleh ibu bapa sahaja.

Tetapi mereka sendiri rasa seronok dan yakin memakainya kerana terinspirasi dengan artis yang mereka minati.

Bukankah itu juga satu bentuk pengaruh yang baik?

AKHIRNYA, SAYA CUMA NAK BERTANYA…

Kita selalu bercakap tentang bagaimana nak menjadikan muzik nasyid kembali popular dalam kalangan generasi muda.

Kita bercakap tentang genre muzik, susunan lagu, platform digital, media sosial dan pelbagai strategi pemasaran.

Semua itu penting.

Tetapi mungkin kita juga perlu kembali melihat aspek fesyen, imej dan gaya hidup yang pernah menjadi sebahagian daripada kekuatan industri nasyid.

Sebab kadang-kadang, untuk menarik minat orang terhadap muzik kita, mereka perlu tertarik dahulu dengan apa yang mereka lihat.

Dan siapa tahu, mungkin suatu hari nanti kopiah boleh kembali menjadi satu trend dalam kalangan remaja seperti yang pernah berlaku dahulu.

Bukan kerana semua penasyid wajib memakainya.

Tetapi kerana ada generasi baharu yang berjaya menjadikannya kembali menarik.

Saya cuma teringin nak tengok perkara itu berlaku.

Apa pandangan anda?

Masih relevankah kopiah sebagai identiti dan fesyen kumpulan nasyid moden hari ini?

Sekadar pandangan dan sembang-sembang saya.

Penulis merupakan ahli anggota kumpulan nasyid Inteam, yang juga merupakan Presiden MUNSYID Malaysia.

Penafian: Artikel yang disiarkan AlHijrah Online ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak menggambarkan pendirian Editorial AlHijrah Media Corporation dalam isu yang dikupas.


Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading