Connect with us

ALHIJRAH ONLINE

LAPAR MATA ATAU BIJAK EMOSI? DILEMA 4,000 TAN MAKANAN & DOMPET RAKYAT DI BULAN RAMADAN

KOLUMNIS

LAPAR MATA ATAU BIJAK EMOSI? DILEMA 4,000 TAN MAKANAN & DOMPET RAKYAT DI BULAN RAMADAN

Statistik menunjukkan ramai antara kita masih kalah. Setiap tahun, sisa makanan meningkat mendadak ketika Ramadan. Tahun lalu sahaja hampir 4,000 tan makanan yang masih boleh dimakan berakhir di tapak pelupusan setiap hari.

Gambar hiasan. Sumber: BERNAMA

Oleh: Noor Awanis Muslim & Noraini Ismail

Bila azan Maghrib hampir kedengaran, ramai sudah membayangkan juadah di bazar Ramadan. Aroma ayam bakar yang meresap ke udara, warna-warni kuih-muih yang memikat pandangan, dan barisan air balang yang berkilau di bawah cahaya senja seolah memanggil untuk dibeli. Siapa yang tidak tergoda melihat hidangan yang tersusun cantik di depan mata? Keghairahan itu menggembirakan, namun ramai tidak sedar bahawa bazar Ramadan bukan sekadar pesta makanan, tetapi juga medan ujian emosi dan kewangan.

Setiap kali jam menghampiri 5.00 petang, perang kecil mula berlaku di dalam diri. Perut yang lapar dan kepala yang sedikit pening memberi isyarat untuk membeli apa sahaja yang kelihatan sedap, manakala suara kecil dalam hati cuba mengingatkan agar bertenang. Inilah pertembungan antara fenomena Ramadan Brain dan kecerdasan emosi. Adakah kita membeli kerana benar-benar memerlukan, atau hanya kerana tergoda mata? Fenomena ini bukan sahaja menguji kawalan diri, tetapi turut memberi kesan kepada bajet harian dan pengurusan kewangan keluarga.

Statistik menunjukkan ramai antara kita masih kalah. Setiap tahun, sisa makanan meningkat mendadak ketika Ramadan. Tahun lalu sahaja hampir 4,000 tan makanan yang masih boleh dimakan berakhir di tapak pelupusan setiap hari. Angka ini bukan sekadar tanda pembaziran, tetapi juga gambaran betapa sukar untuk mengawal diri apabila berhadapan dengan godaan. Jika seorang pengguna berbelanja tambahan RM10 sehari kerana tertarik dengan juadah yang dipamerkan, dalam sebulan jumlah itu mencecah RM300. Untuk keluarga berpendapatan sederhana, ia cukup besar untuk menampung bil elektrik, membeli keperluan anak sekolah atau ditabung selepas Aidilfitri. Kos yang hilang ini bukan sahaja membebankan isi rumah, tetapi juga memberi kesan kepada ekonomi negara secara menyeluruh.

Masalah ini bukan sekadar soal makanan, tetapi soal bagaimana emosi mengawal keputusan. Saat lapar, bahagian otak yang mengawal logik dan kawalan diri seakan terpadam. Kita membeli bukan kerana benar-benar perlu tetapi kerana tergoda. Nasi kerabu, roti John, murtabak, taufufa dan 2 jenis air semuanya dibeli kononnya untuk berbuka, tetapi banyak yang tersisa di meja dan akhirnya berakhir di tong sampah. Bukankah lebih bijak jika kita memikirkan terlebih dahulu keperluan sebenar sebelum membeli?

Di sinilah kepentingan kecerdasan emosi dalam kewangan. Ia bukan sekadar tentang mengurus wang, tetapi bagaimana emosi dikawal ketika membuat keputusan kewangan. Individu yang bijak emosi menilai keperluan sebenar, mengutamakan nilai jangka panjang berbanding kepuasan sementara dan mampu menahan diri daripada pembelian berasaskan emosi. Ramadan adalah peluang terbaik untuk melatih keduaduanya, spiritual dan kewangan. Mengawal nafsu membeli bukan sahaja soal pahala, tetapi juga strategi kewangan praktikal dalam menghadapi cabaran ekonomi harian.

Perkara kecil seperti mengenal pasti isyarat lapar palsu, membeli satu hidangan utama dan satu pencuci mulut, serta memikirkan kos wang yang bakal dibelanjakan boleh membantu mendisiplinkan diri. Bayangkan setiap keluarga berjaya menjimatkan sekurang-kurangnya RM200 sepanjang Ramadan. Wang itu boleh disalurkan kepada keperluan lain, ditabung untuk kecemasan atau disumbangkan kepada mereka yang lebih memerlukan. Kejayaan Ramadan bukan hanya pada kemampuan menahan lapar, tetapi juga pada kemampuan menahan diri daripada membazir selepas azan. Disiplin emosi yang diasah sepanjang bulan ini mampu membentuk kebijaksanaan kewangan yang berpanjangan.

Tahun ini, sebelum melangkah ke bazar Ramadan dengan beg plastik di tangan dan perut kosong, bawa bersama senjata paling berharga iaitu kawalan diri. Jadikan kecerdasan emosi sebagai sahabat. Bayangkan betapa nikmatnya apabila setiap pembelian memberi kepuasan sebenar dan dompet kekal terurus. Jangan biarkan tong sampah lebih penuh daripada perut sendiri. Ramadan adalah masa terbaik untuk membersihkan jiwa dan mendidik cara berbelanja dengan bijak. Ia bukan sekadar latihan spiritual, tetapi juga peluang mendidik kebijaksanaan kewangan dalam kehidupan seharian.–AlHijrah Online

Tentang Penulis

Dr. Noor Awanis Muslim ialah Pensyarah Kanan dan Ketua Unit di Pusat Keusahawanan, Universiti Tenaga Nasional. Beliau pakar dalam bidang kecerdasan emosi dan perubahan gelagat, serta aktif dalam penyelidikan dan advokasi berkaitan kelestarian persekitaran serta pengurusan sisa makanan.

Dr. Noraini Ismail ialah Pensyarah Kanan dan Ketua Program Sarjana Pentadbiran Perniagaan di Universiti Tenaga Nasional. Beliau pakar dalam perancangan kewangan dan data analitik serta aktif dalam penyelidikan berkaitan kewangan, membantu individu dan organisasi membuat keputusan kewangan yang lebih bijak dan lestari.

Penafian: Artikel yang disiarkan AlHijrah Online ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak menggambarkan pendirian Editorial AlHijrah Media Corporation dalam isu yang dikupas.


Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in KOLUMNIS

To Top

Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading