
KUALA LUMPUR: Sepuluh malam terakhir Ramadan merupakan antara tempoh berharga bagi umat Islam kerana pada malam-malam ini tersembunyinya Lailatul Qadar, malam yang lebih baik daripada seribu bulan.
Bagi membantu umat Islam memanfaatkan tempoh istimewa ini, TV AlHijrah menyediakan barisan program khas dengan pengisian rohani dan ilmiah sepanjang 10 malam terakhir Ramadan.
Inisiatif ini bertujuan memastikan penonton dapat menghidupkan malam-malam terakhir Ramadan dengan ibadah, penghayatan Al-Quran serta perkongsian ilmu walau di mana mereka berada.
Antara program utama yang disusun sepanjang tempoh tersebut termasuk program Nuzul Al-Quran pada 7 Mac, yang mengimbau peristiwa agung turunnya Al-Quran sebagai petunjuk kepada umat manusia.
Program khas ini turut sarat pengisian ilmu serta penghayatan rohani yang mendekatkan masyarakat kepada Kalam Allah.
Bermula 10 Mac pula, TV AlHijrah membawakan program Malam Seribu Bulan yang mengajak umat Islam untuk menghayati keistimewaan malam Lailatul Qadar.
Program itu menampilkan qari-qari terkenal negara serta perkongsian daripada para ilmuwan yang dapat memanfaatkan umat Islam untuk memperbanyakkan ibadah pada malam-malam terakhir Ramadan.
Ia akan disiarkan setiap hari iaitu 11 malam pada Isnin hingga Jumaat, dan 10 malam pada Sabtu dan Ahad.

Sementara itu, Ramadan Quran Hour pada 11 Mac 2026, bermula dari jam 12 tengah hari hingga 1 petang, akan membawa penonton mendekati Al-Quran melalui bacaan, tadabbur, dan penghayatan ayat-ayat suci, sebagai persediaan menyambut penghujung Ramadan.

Pada 13 Mac pula, TV AlHijrah menerbitkan program Khatam Ramadan Mualaf, bagi memaknai penghujung Ramadan dengan kesyukuran dan keberkatan.
Selain siaran televisyen, TV AlHijrah turut menyediakan akses kandungan dakwah melalui platform digital bagi memudahkan penonton setia dan umat Islam lain.

Antara platform yang disediakan termasuk akaun media sosial Langit Dakwah, yang sarat kandungan dakwah pendek dan mudah difahami.
Selain itu, siaran langsung Solat Tarawih Masjid ke Masjid turut dilakukan di platform Tiktok Berita AlHijrah bagi mengajak pengguna terus beribadah, terutama pada 10 malam terakhir Ramadan.
Dalam masa sama, TV AlHijrah turut mengajak masyarakat menyertai program Wakaf Media bagi menyokong usaha penyebaran dakwah secara berterusan.
Aktiviti wakaf tersebut dilaksanakan di beberapa lokasi terpilih seperti UDA Holdings, Hotel Mardiyyah, Attana Perdana KLCC, serta beberapa lokasi lain.
Inisiatif ini memberi peluang kepada orang ramai untuk menyumbang kepada pembangunan kandungan dakwah yang boleh dimanfaatkan oleh masyarakat secara berterusan.
Sepuluh malam terakhir Ramadan merupakan peluang keemasan yang tidak wajar dilepaskan, dan TV AlHijrah berusaha memastikan umat Islam dapat menghidupkan malam-malam penuh keberkatan itu dengan ibadah, tadabbur, dan pengisian rohani.
Jom tonton TV AlHijrah! – AlHijrah Online