Oleh: Nurul Fadhilah Mohd Sofiyuddin
Setiap tahun, banyak kes penipuan agensi pelancongan terutama berkaitan umrah dan haji dilaporkan di negara ini. Jemaah atau pelanggan telah ditipu berkaitan passport, tempahan hotel, tempahan tiket, dan harga pakej yang terlampau murah. Walaupun dalam perancangan awal dinyatakan bahawa setiap jemaah akan menerima beg daripada pihak agensi pelancongan, namun perkara tersebut tidak dilaksanakan seperti yang dijanjikan.
Sebelum ini sebuah akhbar tempatan pernah melaporkan bahawa sejumlah 44 kes penipuan haji dan umrah melibatkan kerugian RM890,810.53. Jemaah tertipu dengan pelbagai perkara yang menyebabkan kebajikan terbiar dan ramai yang tersangkut di KLIA mahupun di Arab Saudi. Itu tidak dikira mereka yang terkandas di beberapa negara lain semasa transit.
Menurut Akta Industri Pelancongan 1992 dan Peraturan-Peraturan Pelancongan (Lesen) 1992, semua pengendali umrah yang beroperasi di Malaysia wajib memperoleh lesen daripada MOTAC. Lesen ini berfungsi sebagai bukti bahawa syarikat tersebut telah memenuhi standard yang ditetapkan oleh pihak berkuasa dan mematuhi peraturan yang ditentukan, termasuk menyediakan perkhidmatan yang berkualiti dan selamat kepada jemaah.
Oleh itu, pentingnya agensi pelancongan mendapatkan kelulusan lesen pengendalian umrah dan haji daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya supaya masyarakat lebih percaya dan boleh dikenakan tindakan undang-undang sekiranya syarikat tersebut melakukan sebarang kesalahan.
Kes lain yang berlaku pada bulan Februari juga adalah syarikat pelancongan di Sepang yang telah terlibat dengan 141 laporan berkaitan tipu daya mereka. Agensi pelancongan seharusnya bertanggungjawab dengan mematuhi semua peraturan yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya. Ini adalah untuk mengekalkan kepercayaan masyarakat untuk menunaikan umrah dan haji di bawah mana-mana agensi pelancongan.
Terdapat beberapa cara masyarakat boleh lakukan untuk mengelakkan penipuan daripada agensi pelancongan, tidak kira ingin menunaikan umrah atau haji mahupun untuk melancong di dalam dan luar negara.
Antaranya:
- Menyemak lesen agensi pelancongan di laman web rasmi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (https://www.motac.gov.my/)
- Melihat di sosial media tentang maklum balas klien di semua platform agensi tersebut
- Meneliti segala informasi dengan jelas tentang trip perjalanan yang dikeluarkan oleh agensi pelancongan
- Membuat perbandingan antara pelbagai agensi pelancongan
- Menyemak pakej pelancongan yang ditawarkan
Masyarakat juga mestilah berwaspada dengan perkara-perkara di bawah:
- Menyediakan insurans pelancongan setiap kali melancong ke sesuatu tempat
- Menyediakan dokumen dan kelengkapan melancong yang mencukupi
- Cakna tentang ‘do’ dan ‘don’t’ di tempat yang ingin dilawati
Dalam membuat sesuatu keputusan, kita mestilah berhati-hati dan meneliti segala info dengan baik. Bukanlah untuk bersangka buruk tentang keadaan akan datang atau masa depan, cuma dalam setiap keputusan pasti ada kesan yang baik mahupun sebaliknya. Disebabkan itu, Islam sangat menitikberatkan konsep tabayyun. Tabayyun yang memberi maksud menyemak kebenaran dengan teliti. “Yang dimaksud dengan tabayyun adalah memeriksa dengan teliti dan yang dimaksud dengan tatsabbut adalah berhati-hati dan tidak tergesa-gesa, melihat dengan keilmuan yang dalam terhadap sebuah peristiwa dan kabar yang datang, sampai menjadi jelas dan terang baginya.”- Imam Asy-Syaukani(Lihat Fath al-Qadir, 5/65)
Konsep tabayyun ini amat penting dalam merancang perjalanan untuk melancong, supaya tidak berlaku perkara-perkara yang tidak diingini. Ia boleh diselidiki melalui pengalaman orang lain berkaitan agensi pelancongan tersebut. Sama ada respon mereka positif atau negatif. Dari situlah klien boleh menilai dan memilih agensi mana yang berbaloi untuk pergi melancong.
Perlu ditekankan disini bahawa harga yang murah terhadap sesuatu pakej trip belum tentu boleh dipercayai. Dan harga yang mahal tidak semestinya mendapat layanan yang baik. Ramai yang tertipu dengan harga pakej yang murah, padahal ianya tidak ditampung perjalanan secara penuh, termasuk visa, makan minum, penginapan mahupun harga tiket pergi balik.
Agensi pelancongan yang mempunyai lesen pengendalian pelancongan mestilah bertanggungjawab atas segala proses sepanjang mengendalikan trip pelanggan mereka dan bukan hanya berkaitan Umrah & Haji semata-mata. Mereka perlu menjalani audit dan pemeriksaan berkala untuk memastikan mereka terus mematuhi piawaian yang ditetapkan terhadap syarikat pelancongan. Sekiranya terdapat sebarang pelanggaran atau ketidakpatuhan, pengendali berlesen boleh dikenakan denda atau pembatalan lesen, yang memberi amaran kepada pengendali lain tentang pentingnya mematuhi undang-undang.
Artikel ini ditulis oleh Nurul Fadhilah Mohd Sofiyuddin, Pelajar Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan USIM
Penafian: Artikel yang disiarkan AlHijrah Online ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak menggambarkan pendirian Editorial AlHijrah Media Corporation dalam isu yang dikupas.