Connect with us

ALHIJRAH NEWS

MENJADI “TAMAK” DI HARI ARAFAH

UTAMA

MENJADI “TAMAK” DI HARI ARAFAH

Jadilah yang paling “tamak” di hadapan Allah SWT kerana khazanah rahmat-Nya sentiasa terbentang buat hamba yang meminta dan kembali kepada-Nya.

KUALA LUMPUR: Esok 9 Zulhijah, umat Islam di seluruh dunia bakal menyambut Hari Arafah.

Hari yang menjadi kemuncak ibadah haji serta antara detik paling mustajab untuk menadah tangan dan mendekatkan diri kepada Allah SWT.

“Tamak”, lazimnya membawa konotasi yang negatif. Dikaitkan dengan kerakusan terhadap harta atau kepentingan duniawi.

Namun tatkala tibanya Hari Arafah, makna itu seakan-akan berubah wajah. Ketamakan menjadi hal yang dituntut dalam meraih rahmat, keampunan dan kasih sayang Allah SWT.

Bagi para jemaah di Tanah Suci, wukuf di Padang Arafah merupakan rukun haji yang paling utama dan menjadi kemuncak perjalanan kerohanian mereka. Bagi yang tidak menunaikan haji, syariat menganjurkan puasa sunat Arafah.

Sabda Rasulullah SAW:

“Puasa pada hari Arafah menghapuskan dosa dua tahun; tahun lepas dan akan datang.” (Hadis Riwayat al-Suyuti)

Menurut jumhur ulama, Hari Arafah ialah peluang yang terbuka luas buat setiap hamba untuk kembali kepada fitrah yang bersih. Ia ibarat lembaran baharu yang menawarkan ruang keampunan dan pembebasan daripada dosa.

Justeru, sifat tamak dalam berdoa dan beribadah pada hari tersebut bukan sahaja dibenarkan, bahkan amat digalakkan.

Sabda Rasulullah SAW:

“Tiada hari yang Allah lebih banyak membebaskan hamba-Nya daripada api neraka melainkan pada Hari Arafah.” (Hadis Riwayat Muslim)

Betapa luasnya rahmat Allah SWT pada hari berkenaan. Rugilah orang-orang yang membiarkan waktu yang begitu berharga berlalu tanpa dipenuhi dengan pengharapan kepada-Nya.

Ketamakan mengejar pahala pada Hari Arafah sebenarnya menjadi persediaan rohani sebelum umat Islam melangkah ke Aidiladha pada keesokan harinya.

Semangat pengorbanan yang diwariskan melalui kisah Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS akan terasa lebih meresap apabila jiwa terlebih dahulu disucikan di “stesen” Arafah.

Jika Hari Arafah ialah hari untuk meminta, Aidiladha adalah hari untuk memberi.

Kedua-duanya saling melengkapi dalam membentuk peribadi Mukmin yang seimbang, kukuh hubungannya dengan Allah SWT dan keperluan sesama manusia.

Maka, apabila fajar 9 Zulhijah menyingsing kelak, buanglah segala segan dan ragu-ragu dalam berdoa.

Jadilah yang paling “tamak” di hadapan Allah SWT kerana khazanah rahmat-Nya sentiasa terbentang buat hamba yang meminta dan kembali kepada-Nya. — AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Dari masyarakat, untuk masyarakat

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in UTAMA

To Top

Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading