
Sumber: AFP
GAZA CITY: Satu serangan udara tentera Israel pada Rabu mengorbankan seorang pegawai keselamatan Gaza bersama isteri dan dua anak perempuan mereka, menurut pasukan penyelamat serta pihak berkuasa tempatan.
Jurucakap pertahanan awam, Mahmoud Bassal memberitahu AFP bahawa bedilan ke atas sebuah bangunan kediaman di kem pelarian Al-Shati di bahagian barat Gaza City itu turut mencederakan 12 individu lain.
Pasukan penyelamat yang beroperasi di bawah pentadbiran Hamas itu memaklumkan bahawa dua anak perempuan mangsa masing-masing berusia 13 dan 15 tahun.
Serangan di kem yang terletak di pesisir pantai Mediterranean itu turut mengakibatkan kemusnahan besar pada pangsapuri yang menjadi sasaran serta beberapa buah rumah berhampiran.
Kementerian Dalam Negeri Gaza mengenal pasti mangsa sebagai Kolonel Mohammed Abu al-Ouf, iaitu pengarah perkhidmatan keselamatan dalaman bagi utara Gaza, sekali gus mengesahkan kematian beliau bersama isteri dan dua anak perempuannya.
Hospital Al-Shifa di Gaza City mengesahkan kepada AFP mengenai ketibaan keempat-empat jenazah tersebut.
Sementara itu, tentera Israel memaklumkan kepada AFP bahawa mereka “menyasarkan seorang pejuang Hamas” tanpa memberikan sebarang butiran lanjut.
Serangan terbaharu ini berlaku sehari selepas Israel membunuh Pengarah Keselamatan Dalaman Hamas, Naim Abu Nahal, yang baru sahaja dilantik memegang jawatan tersebut dua bulan lalu. – Alhijrah Online