
KUALA LUMPUR: Sasterawan Negara Datuk Seri Dr A Samad Said yang sebelum ini dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) petang semalam, telah meninggal dunia petang tadi.
Pemergian Allahyarham pada usia 91 tahun itu dimaklumkan oleh anak sulungnya, Helmy Samad, dalam satu hantaran ringkas di media sosial.
“6.10 (petang). Innalillahi wainnailaihi rojiun. Bapa baru meninggal,” katanya.
Terdahulu, A Samad Said semalam dimasukkan ke hospital akibat sakit tua.
Anaknya mengesahkan perkara itu dan memaklumkan bapanya turut menghidap diabetes.
“Keadaan bapak tidak begitu baik. Sakit tua. Juga ada diabetes. Masuk lewat petang semalam,” katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mendoakan agar sasterawan tersohor itu segera sembuh.
Menerusi hantaran di Facebook hari ini, Anwar menyifatkan A Samad Said yang mesra dengan panggilan Pak Samad, sebagai tokoh budayawan yang amat berjasa kepada dunia kesusasteraan tanah air.
A Samad Said atau nama sebenarnya Abdul Samad Muhammad Said dilahirkan di Kampung Belimbing Dalam, Durian Tunggal, Melaka dan menerima Anugerah Sastera Negara pada 1985.
Antara karya tersohor beliau ialah novel Salina yang diterbitkan pada 1961, selain Sungai Mengalir Lesu, Langit Petang dan Hujan Pagi.—AlHijrah Online