Connect with us

ALHIJRAH NEWS

NELAYAN DIKAITKAN DENGAN MILLAH ABRAHAM MENGAKU TIDAK BERSALAH HINA HADIS

DALAM NEGARA

NELAYAN DIKAITKAN DENGAN MILLAH ABRAHAM MENGAKU TIDAK BERSALAH HINA HADIS

Seorang nelayan yang dikatakan pemimpin ajaran Millah Abraham mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menghina hadis dan menghuraikan agama bertentangan dengan hukum syarak.

MANJUNG: Seorang nelayan yang dikatakan pemimpin dan pengajar ajaran Millah Abraham dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini atas dua pertuduhan menghina hadis dan menghuraikan agama bertentangan dengan hukum syarak.

Tertuduh, Mazlan Abd Shukor, 69, mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Ridzuan Yusof.

Mengikut pertuduhan pertama, Mazlan didakwa menghina hadis dengan mengeluarkan perkataan “Kalau kita pakai hadith itu kata orang. Kata orang tak semestinya betul” di sebuah rumah di Pantai Remis, antara jam 11 pagi hingga 12 tengah hari pada 26 April 2024.

Bagi pertuduhan kedua, lelaki itu didakwa menghuraikan agama bertentangan dengan hukum syarak kepada dua anaknya, Maisarah, 23, dan Maryam Sakinah, 20, dengan menyebut “Quran dia memang kena baca dalam bahasa kita bukannya dibaca dalam bahasa itu” di lokasi, tarikh dan masa sama.

Kedua-dua pertuduhan masing-masing dikemukakan mengikut Seksyen 15 dan Seksyen 9 Enakmen Jenayah (Syariah) 1992 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwa Syarie Amir Sabri Zulkipli memohon mahkamah menetapkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan atas alasan kesalahan membabitkan akidah itu serius.

Bagaimanapun, tertuduh merayu supaya jumlah jaminan dikurangkan kerana masih menanggung dua anak yang sedang menuntut di institusi pengajian tinggi.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin serta 13 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes. — AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Dari masyarakat, untuk masyarakat

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top