Connect with us

ALHIJRAH NEWS

MAMPUKAH ASEAN BEBAS JEREBU MENJELANG 2030?

UTAMA

MAMPUKAH ASEAN BEBAS JEREBU MENJELANG 2030?

Jika sasaran itu sekali lagi terlepas, persoalannya bukan lagi tentang bila ASEAN mahu bebas jerebu, tetapi sampai bila garis penamat itu mahu terus ditunda?

Jerebu kembali menyelubungi Asia Tenggara ketika rantau ini pernah meletakkan sasaran untuk bebas daripada masalah berkenaan enam tahun lalu.

Pada 2016, Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) menerima pakai Pelan Hala Tuju Kerjasama ASEAN bagi Kawalan Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan dengan visi yang jelas iaitu mewujudkan ASEAN bebas jerebu rentas sempadan menjelang 2020.

Matlamatnya juga besar dengan menghapuskan pencemaran jerebu rentas sempadan melalui tindakan bersama yang lebih giat bagi mencegah dan mengawal kebakaran hutan serta tanah.

Tahun 2020 sudah berlalu, namun Asia Tenggara masih belum bebas daripada jerebu.

Kini, garis penamat itu beralih ke 2030 selepas ASEAN menerima pakai pelan kedua bagi tempoh 2023 hingga 2030. Visinya sekali lagi hampir sama yakni “A Transboundary Haze-Free ASEAN by 2030”.

Menetapkan sasaran baharu selepas menilai kelemahan pelan terdahulu bukan sesuatu yang luar biasa dalam pembentukan dasar. Sesebuah dasar sememangnya perlu ditambah baik apabila kelemahan dikenal pasti dan keadaan berubah.

Akan tetapi, sejauh manakah sasaran baharu itu benar-benar disertai perubahan yang cukup besar di lapangan.

Kita kini berada pada 2026.

26 Ogos lalu, Pusat Meteorologi Khusus ASEAN (ASMC) mengaktifkan Tahap Amaran 3 bagi selatan ASEAN, menunjukkan risiko tinggi berlakunya jerebu rentas sempadan yang kritikal. Asap sederhana hingga tebal turut dikesan daripada kelompok titik panas di Kalimantan dan Sumatera, Indonesia.

Keadaan itu berlaku hanya empat tahun sebelum ASEAN sepatutnya mencapai visi bebas jerebu pada 2030.

Untuk menilai sejauh mana sasaran tersebut realistik, rekod pelan pertama perlu dilihat semula.

Penilaian akhir ASEAN menunjukkan banyak ukuran kemajuan masih berada pada tahap sederhana atau belum memuaskan. Antara yang dikenal pasti ialah kelemahan dalam menginstitusikan bantuan antarabangsa pada peringkat awal jerebu, kemajuan rendah dalam penerapan amalan tanpa pembakaran di kawasan gambut serta keberkesanan penguatkuasaan undang-undang yang hanya dinilai pada tahap sederhana.

Keupayaan menggerakkan sumber secara berkesan turut berada pada tahap rendah. Begitu juga usaha menilai dan memantau kesan jerebu terhadap kesihatan, ekonomi, masyarakat serta alam sekitar.

Dapatan ini penting kerana ia menunjukkan masalah ASEAN selama ini bukan berpunca daripada kekurangan kesedaran tentang jerebu.

Rantau ini sudah mempunyai perjanjian sejak 2002, sistem pemantauan, perkongsian maklumat, mesyuarat peringkat menteri, pelan pengurusan gambut dan pelbagai bentuk kerjasama teknikal.

Masalah sebenar terletak pada jurang antara hal yang dirancang dengan hal yang berlaku di lapangan.

Pelan kedua cuba merapatkan jurang-jurang tersebut.

ASEAN kini mahu memberi penekanan lebih besar kepada pencegahan dan pemadaman kebakaran, pengukuhan undang-undang serta penguatkuasaan di peringkat negara, penggunaan ukuran kemajuan yang lebih jelas selain penglibatan lebih ramai pihak dalam menangani jerebu.

Semua itu menunjukkan usaha memperbaiki kelemahan lalu.

Walau bagaimanapun, pelan 2030 telah menimbulkan satu persoalan yang lebih asas tentang bagaimana kejayaan itu sendiri ditakrifkan.

Visinya ialah ASEAN bebas jerebu rentas sempadan. Matlamatnya pula menyebut pencemaran jerebu rentas sempadan perlu dihapuskan.

Pada masa sama, antara ukuran kejayaan yang ditetapkan menjelang 2030 ialah “pengurangan ketara dan berterusan” dalam jumlah episod jerebu serta pencapaian sasaran kualiti udara PM2.5 di peringkat negara.

Di sinilah wujud perbezaan yang perlu diperhalusi.

“Bebas jerebu” membawa makna yang jauh lebih mutlak berbanding “pengurangan ketara dan berterusan (jerebu)”.

Sekiranya episod jerebu masih berlaku pada 2030 tetapi jumlahnya berkurangan dengan ketara, adakah ASEAN benar-benar sudah mencapai visi bebas jerebu atau sekadar mencatat kemajuan ke arah itu?

Perbezaan itu mungkin kecil dalam bahasa dokumen dasar namun besar maknanya kepada rakyat yang masih terpaksa menghirup udara tercemar.

Kerana itulah sasaran 2030 memerlukan ukuran pertanggungjawaban yang lebih jelas.

Kejayaan ASEAN tidak sewajarnya diukur melalui kewujudan pelan baharu, jumlah program yang dilaksanakan atau seberapa banyak pertemuan antara negara anggota.

Ukuran sebenar terletak pada berapa banyak kebakaran berjaya dicegah, sejauh mana keluasan kawasan terbakar dapat dikurangkan, berapa kerap jerebu merentasi sempadan dan sejauh mana pihak yang menyebabkan kebakaran dikenakan tindakan.

Negara anggota juga perlu lebih bertanggungjawab.

ASEAN boleh menyediakan kerangka serantau. Namun begitu, pengurusan tanah, pemberian konsesi, pemantauan syarikat dan penguatkuasaan undang-undang tetap berlaku di peringkat negara masing-masing.

Pelan serantau yang baik sukar membawa perubahan sekiranya pelaksanaan domestik masih lemah.

Atas sebab itu, 2030 perlu dilihat sebagai garis penamat yang terakhir kerana enam tahun lalu, ASEAN sepatutnya sudah mencapai cita-cita sebuah rantau bebas jerebu.

Jika sasaran itu sekali lagi terlepas, persoalannya bukan lagi tentang bila ASEAN mahu bebas jerebu.

Persoalannya ialah sampai bila garis penamat itu mahu terus ditunda? — AlHijrah Online.


Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Dari masyarakat, untuk masyarakat

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in UTAMA

To Top

Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading