Connect with us

ALHIJRAH NEWS

BANK JUGA PERLU BERTANGGUNGJAWAB DALAM KES SCAM

JENAYAH

BANK JUGA PERLU BERTANGGUNGJAWAB DALAM KES SCAM

Datuk Seri Azalina Othman Said mahu bank turut memikul tanggungjawab dalam kes penipuan dalam talian dan tidak membiarkan pelanggan menanggung sepenuhnya kerugian akibat scam.

KUALA LUMPUR: Institusi perbankan perlu turut memikul tanggungjawab dalam menangani kes penipuan dalam talian dan tidak meletakkan sepenuhnya risiko kehilangan wang kepada pelanggan yang menjadi mangsa.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, usaha membendung jenayah itu perlu melibatkan tanggungjawab bersama institusi kewangan, selain mengenakan hukuman lebih berat terhadap penjenayah.

Beliau turut menyokong cadangan Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya hukuman lebih berat termasuk sebatan dikenakan terhadap penjenayah penipuan dalam talian.

“Saya ada melihat cadangan PDRM untuk mengenakan hukuman sebat dan saya boleh setuju lebih daripada sebatan untuk jenayah penipuan.

“Saya sudah sebut banyak kali dalam Parlimen dan luar Parlimen bahawa antara strategi (membendung jenayah itu) ialah bank yang menerima duit scam ini juga mesti ada tanggungjawab,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Pendanaan Politik 2026 di Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC), di sini hari ini.

Azalina berkata, institusi perbankan tidak seharusnya meletakkan sepenuhnya risiko kehilangan wang akibat penipuan kepada pelanggan dengan alasan akaun mereka digunakan pihak lain.

“Perkara ini tidak boleh hanya kerana ada individu guna akaun bank mangsa, pihak bank berkata ia atas risiko sendiri. Simpan duit di bawah bantal kalau macam itu.

“Bank Negara Malaysia sudah buat pelbagai pesanan khidmat masyarakat, PDRM pun sudah banyak kali maklumkan tetapi nampak rakyat masih lagi tertipu dan terikat (dengan penipuan dalam talian),” katanya.

Menurut Azalina, kerajaan juga perlu mengkaji sama ada hukuman lebih berat benar-benar mampu mengurangkan kes penipuan atau mekanisme yang meletakkan tanggungjawab bersama kepada institusi perbankan boleh menjadi langkah lebih berkesan.

Beliau berkata, sekiranya bank turut dipertanggungjawabkan, langkah itu berpotensi mendorong institusi kewangan memperketat sistem pemantauan dan keselamatan bagi menghalang transaksi mencurigakan.

Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata, PDRM mencadangkan pindaan terhadap undang-undang lapuk serta hukuman jauh lebih berat termasuk sebatan terhadap penjenayah penipuan dalam talian.

Menurut Mohd Khalid, hukuman ketika ini dilihat terlalu minimum sehingga gagal menimbulkan rasa gentar dalam kalangan dalang dan ahli sindiket penipuan. — AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Dari masyarakat, untuk masyarakat

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in JENAYAH

To Top

Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading