
KUALA LUMPUR: Tiga tan dadah disyaki jenis methamphetamine (syabu) bernilai RM156 juta dikenal pasti diseludup keluar menerusi dua pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Sabah dan Labuan sejak Ogos 2024.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, hasil risikan berterusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya mengenal pasti 21 transaksi penyeludupan dadah melalui kedua-dua pangkalan berkenaan.
Daripada jumlah itu, sebanyak 14 transaksi dikesan melalui Pangkalan TUDM Labuan membabitkan 1.2 tan dadah bernilai RM63 juta, manakala tujuh lagi melalui Pangkalan TUDM Tawau, Sabah melibatkan 1.8 tan dadah bernilai RM93 juta.
“Methamphetamine ini pengambilannya perlu 0.02 gram (g) sahaja, jadi kalau nilai tangkapan ini sahaja sudah tiga tan, bahan ini mampu memberikan bekalan kepada 15 juta orang. Tetapi, kalau seseorang itu ambil 0.05 g untuk lagi kick, kesannya masih tinggi melibatkan enam juta orang.
“Jadi, bayangkan kalau kita tak lumpuhkan kegiatan ini, mangsanya itu berjuta-juta orang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PN-Beluran) mengenai kaedah sindiket penyeludupan dadah mengeksploitasi kemudahan penerbangan TUDM di Sabah sebagai laluan transit antarabangsa pada sesi Waktu-Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini. — AlHijrah Online