Connect with us

ALHIJRAH NEWS

GRADUAN PERDA-TECH CATAT 87 PERATUS KADAR PEKERJAAN, RAIH PENARAFAN LIMA BINTANG TVET

DALAM NEGARA

GRADUAN PERDA-TECH CATAT 87 PERATUS KADAR PEKERJAAN, RAIH PENARAFAN LIMA BINTANG TVET

Menurut PERDA, 87 peratus graduan PERDA-TECH 2025 berjaya mendapat pekerjaan, manakala 10 peratus melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Gambar Hiasan (Sumber: BERNAMA)

NIBONG TEBAL: Institut Kemahiran Tinggi PERDA (PERDA-TECH) mencatatkan kadar kebolehpasaran graduan sebanyak 87 peratus berdasarkan hasil kaji selidik terhadap graduan institusi itu pada 2025.

Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) dalam kenyataan memaklumkan institusi berkenaan turut meraih penarafan lima bintang menerusi penilaian verifikasi Malaysia TVET Rating 2026 bagi Program Diploma Teknologi Automotif.

Pencapaian penarafan itu diumumkan Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang bersempena dengan Majlis Konvokesyen PERDA-TECH ke-15 hari ini yang menyaksikan sebanyak 369 graduan menerima sijil serta diploma masing-masing.

“Berdasarkan hasil kaji selidik ke atas graduan PERDA-TECH 2025, sebanyak 87 peratus berjaya mendapat pekerjaan, tiga peratus bekerja di luar bidang manakala 10 peratus lagi melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi,” menurut PERDA.

Dalam usaha memperkukuh Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), PERDA-TECH turut dilengkapi dua fasiliti latihan baharu berteraskan industri, iaitu Bengkel Latihan Kimpalan Bawah Air PERDA-TECH dan Bengkel Latihan Pembungkusan PERDA-TECH.

PERDA memaklumkan pembangunan kedua-dua fasiliti itu dilaksanakan menerusi kerjasama strategik masing-masing dengan Divestuff Sdn Bhd dan Vinyl Frog Malaysia.

Inisiatif itu sejajar dengan sasaran kerajaan untuk mencapai 70 peratus penyertaan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia dalam bidang TVET menjelang akhir Rancangan Malaysia Ke-13.

PERDA memaklumkan, selain kerjasama sedia ada dengan Perodua Sales Sdn Bhd menerusi Bengkel DOJO, PERDA-TECH turut memperluas jaringan strategik industri dengan memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama Advansia Sdn Bhd dan GOTT Sdn Bhd bagi memastikan silibus latihan yang ditawarkan kekal relevan dengan keperluan pasaran kerja semasa.

“PERDA dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) sentiasa komited dalam meningkatkan akses pendidikan TVET berkualiti tinggi kepada belia luar bandar, bukan sahaja untuk melahirkan tenaga kerja mahir tetapi juga membentuk teknousahawan TVET yang mampu memacu ekonomi desa,” menurut kenyataan itu.

PERDA-TECH adalah institusi pendidikan kemahiran di bawah seliaan PERDA dan KKDW. — AlHijrah Online.


Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top