Connect with us

ALHIJRAH NEWS

PELAJAR UNIVERSITI DIPERCAYAI HILANG SEJAK LIMA MINGGU MASIH BELUM DITEMUI

DALAM NEGARA

PELAJAR UNIVERSITI DIPERCAYAI HILANG SEJAK LIMA MINGGU MASIH BELUM DITEMUI

Nur Fatihah berkata adiknya tidak pernah menceritakan sebarang masalah kepadanya dan selama ini dia menyangka Muhammad Shafik Hidayat sedang mengikuti pengajian seperti biasa serta berada dalam keadaan baik di universiti.

ALOR SETAR: Seorang wanita bimbang akan keselamatan adik lelakinya, seorang penuntut Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), yang dipercayai hilang sejak kira-kira lima minggu lepas.

Nur Fatihah Mat Daud, 33 tahun, dari Kampung Sedaka Tengah, Yan, Kedah berkata dia hanya mengetahui mengenai kehilangan adiknya, Muhammad Shafik Hidayat, 22 tahun, kira-kira tiga hari lepas menerusi mesej yang tular di aplikasi WhatsApp.

“Saya dapat pesanan mesej yang memaklumkan adik saya sudah lama tidak hadir ke kelas di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Pihak universiti juga ada menghubungi saya untuk maklumkan mengenai perkembangan kehilangannya, namun sehingga kini dia masih belum ditemui.

“Kali terakhir saya berhubung dengan adik pada 3 Oktober lalu ketika menghantarnya menaiki bas untuk ke Kajang. Ketika itu, dia masih membalas mesej seperti biasa..namun selepas itu, apabila saya cuba menghubunginya, ia sudah tidak dijawab,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Nur Fatihah berkata adiknya tidak pernah menceritakan sebarang masalah kepadanya dan selama ini dia menyangka Muhammad Shafik Hidayat sedang mengikuti pengajian seperti biasa serta berada dalam keadaan baik di universiti.

“Selepas kedua-dua ibu bapa kami meninggal dunia kira-kira empat, lima tahun lepas, saya hanya ada dia sahaja kerana kami dua beradik. Jadi, saya amat berharap agar adik saya dapat ditemui segera dan berada dalam keadaan selamat.

“Saya telah membuat laporan polis dan pihak universiti memaklumkan mereka juga telah membuat laporan polis. Saya mohon sekiranya orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat atau terlihat adik saya untuk tampil membantu atau segera menghubungi balai polis berhampiran,” katanya.

Terdahulu, tular di media sosial mengenai kehilangan pelajar Tahun Tiga, Fakulti Sains Citra UKM yang memaklumkan bahawa pelajar berkenaan tidak hadir ke universiti selama kurang lima minggu dan sehingga kini keberadaannya masih belum diketahui.

Pihak universiti telah cuba menghubungi nombor telefon pelajar berkenaan, namun panggilan tidak berjawab dan berharap sesiapa yang mempunyai maklumat berkaitan keberadaan pelajar itu untuk menghubungi pihak universiti atau polis dengan segera. — AlHijrah Online.


Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top