Connect with us

ALHIJRAH NEWS

TURKIYE TIDAK SEDIA TERIMA PELARIAN ROHINGYA DARI MALAYSIA

DUNIA

TURKIYE TIDAK SEDIA TERIMA PELARIAN ROHINGYA DARI MALAYSIA

Turkiye tidak bersedia menerima 10,000 pelarian Rohingya dari Malaysia kerana negara itu kini menampung lebih empat juta pelarian, manakala kerajaan akan terus meneliti penempatan ke negara ketiga.

KUALA LUMPUR: Kerajaan Turkiye tidak bersedia mempertimbangkan penerimaan 10,000 pelarian Rohingya dari Malaysia kerana negara itu kini menampung lebih empat juta pelarian dari negara Arab dan beberapa negara jiran.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu dimaklumkan secara rasmi oleh kerajaan Turkiye kepadanya dua hari lalu.

“Turkiye antara negara yang paling banyak menampung pelarian di dunia, jadi apabila mereka menyatakan belum bersedia, kita menghormati keputusan itu. Kita telah memaklumkan perkara ini kepada Timbalan Perdana Menteri dan insya-Allah, pada Jumaat ini saya akan membawanya kepada Jemaah Menteri.

“Kementerian Luar juga telah dimaklumkan bahawa dasar kita (menempatkan pelarian di negara ketiga) adalah betul, namun ada negara yang belum bersedia,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) berhubung kesediaan Turkiye menerima pelarian Rohingya dari Malaysia.

Anwar menjelaskan kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Jumaat lalu dibuat berdasarkan usaha Malaysia mencari negara ketiga untuk menempatkan sebahagian pelarian.

Menurutnya, langkah itu dibuat kerana Malaysia tidak berkemampuan menampung jumlah pelarian yang terlalu ramai. — AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Dari masyarakat, untuk masyarakat

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DUNIA

To Top