KUALA LUMPUR: Lapan pusat penyembelihan haram di lima negeri diserbu pihak berkuasa selepas dikesan menggunakan taktik pemprosesan dan penyembelihan haiwan yang tidak patuh syarak serta meragukan menerusi Op Salju baru-baru ini.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata penyelewengan itu terbongkar hasil operasi bersepadu di seluruh negara yang dilancarkan bermula 9 hingga 22 Nov lepas.
“Premis-premis ini dikesan melakukan penyembelihan yang tidak betul dan diragui, iaitu disyaki menggunakan kaedah renjatan elektrik sebelum disembelih. Terdapat juga situasi di mana kepala ayam ditarik dan terus dipotong tanpa melalui proses sembelihan sebenar,” katanya pada sidang media di Bukit Aman di sini hari ini.
Beliau berkata lapan premis pemprosesan haiwan yang tidak patuh syarak itu dikesan di Selangor membabitkan tiga premis, Johor (dua), manakala masing-masing satu premis di Pahang, Sabah dan Perak.
“Daripada jumlah tersebut, empat premis dimiliki oleh pemilik bukan Islam iaitu di Chini, Pahang; Muar, Johor; Jalan Meru, Klang, Selangor dan Teluk Intan, Perak. Baki empat lagi premis dimiliki oleh individu beragama Islam yang beroperasi di Kajang dan Klang, Selangor; Sandakan, Sabah dan Pekan Nenas, Johor.
“Hasil risikan mendapati premis-premis ini telah beroperasi antara dua bulan hingga empat tahun sejak 2022 hingga 2026. Sindiket ini mampu mengaut keuntungan harian bagi setiap premis antara RM1,500 hingga RM10,000 sehari,” katanya.
Mohd Yusri berkata serbuan di lapan pusat penyembelihan tersebut membawa kepada penahanan 55 orang pekerja, selain melibatkan nilai rampasan barangan berjumlah RM2.4 juta.
Mengulas mengenai pencapaian keseluruhan Op Salju 1/2026, beliau memaklumkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama sembilan agensi penguat kuasa yang lain telah memeriksa sebanyak 68 premis merangkumi pasar raya, kilang, stor dan pusat penyembelihan di 13 negeri.
“Secara keseluruhannya, operasi yang digerakkan oleh 745 anggota antara agensi itu berjaya merampas pelbagai jenis produk sejuk beku, makanan, bahan mentah dan kenderaan dengan nilai keseluruhan mencecah RM32.5 juta.
“Seramai 96 individu berusia antara 14 hingga 73 tahun, yang terdiri daripada 41 rakyat tempatan dan 55 warga asing turut ditahan,” katanya.
Beliau berkata tindakan bersepadu itu sangat penting bagi melumpuhkan sindiket pengedaran makanan secara haram, memutuskan rantaian penyembelihan yang menyalahi syarak serta mengembalikan keyakinan umat Islam terhadap jaminan kebersihan, keselamatan dan status halal rantaian makanan dalam negara.–BERNAMA