Connect with us

ALHIJRAH NEWS

HILANG AYAH DAN MASIH DALAM CUTI SAKIT, SYASYA TETAP MAHU DUDUKI SPM DI SEKOLAH

DALAM NEGARA

HILANG AYAH DAN MASIH DALAM CUTI SAKIT, SYASYA TETAP MAHU DUDUKI SPM DI SEKOLAH

Belum reda kehilangan ayah, Syasya Nasuha diuji pula dengan kecederaan hingga terpaksa berkerusi roda menjelang SPM. Namun semangatnya tidak luntur, malah dia menolak pilihan menduduki peperiksaan di hospital demi bersama rakan-rakan di sekolah.

PONTIAN: Meskipun terpaksa menggunakan kerusi roda akibat kecederaan pada pergelangan kaki dan baru kehilangan bapanya, Syasya Nasuha Zainal, 17, tetap bersemangat menduduki peperiksaan bertulis Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2026 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Penggawa Barat di sini hari ini.

Anak sulung daripada dua beradik itu mengalami kecederaan selepas terjatuh di kawasan Stadium Pontian pada Sabtu lalu sehingga menyebabkan pergelangan kakinya bengkak dan tidak dapat berjalan.

Syasya Nasuha yang hadir ditemani ibunya, Mirul Fathiah Mustapha, 44, tetap memilih untuk menduduki kertas Bahasa Melayu bersama rakan-rakan meskipun diberikan pilihan menjalani peperiksaan di hospital.

“Jika diikutkan, saya layak mendapat cuti sakit dan boleh menduduki SPM di hospital, tetapi saya beritahu doktor dan ibu mahu datang ke sekolah untuk menduduki peperiksaan bersama dengan rakan-rakan.

“Alhamdulillah, saya gembira kerana dapat hadir ke sekolah hari ini dan berharap dapat menjawab soalan dengan baik,” katanya ketika ditemui sempena tinjauan Pengarah Pendidikan Johor, Zulkurnain Abdul Rahman ke sekolah itu hari ini.

Ujian buat Syasya Nasuha bukan sahaja melibatkan kecederaan apabila bapanya, Zainal Hasbullah, 44, meninggal dunia pada 15 September lalu akibat komplikasi buah pinggang.

“Kehilangan ayah ketika SPM semakin hampir memang sangat memberi kesan kepada saya, kerana arwah banyak memberikan galakan untuk memperoleh keputusan cemerlang.

“Saya sudah membuktikannya dalam peperiksaan percubaan sebelum ini dan mahu mengulangi kejayaan itu dalam SPM,” tambahnya.

Sementara itu, Mirul Fathiah berkata, beliau berbangga dengan ketabahan anak sulungnya yang tidak mudah berputus asa meskipun berdepan kehilangan bapa dan kecederaan menjelang peperiksaan penting tersebut.

“Saya menghantar anak saya hari ini untuk memberikan semangat kepadanya dan berharap dia dapat menjawab soalan dengan baik,” ujarnya.

Terdahulu, Zulkurnain mengadakan tinjauan bagi memastikan kelancaran peperiksaan bertulis SPM di sekolah berkenaan selain menyampaikan kit peperiksaan sumbangan Kerajaan Negeri Johor kepada 204 calon.

Menurutnya, seramai 51,371 calon mendaftar untuk menduduki SPM 2026 di Johor melibatkan 367 pusat peperiksaan dengan 4,484 petugas dilantik bagi memastikan kelancaran pengurusan dan pengendalian peperiksaan. — AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Dari masyarakat, untuk masyarakat

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top