Connect with us

ALHIJRAH NEWS

JEREBU RENTAS SEMPADAN: PRABOWO MOHON MAAF KEPADA MALAYSIA, SINGAPURA

DUNIA

JEREBU RENTAS SEMPADAN: PRABOWO MOHON MAAF KEPADA MALAYSIA, SINGAPURA

“Saya ingin memohon maaf kepada negara jiran, Malaysia dan Singapura, apabila kami berdepan kebakaran hutan yang sangat besar sehingga mengambil masa hampir empat bulan untuk dikawal.”

JAKARTA: Presiden Indonesia Prabowo Subianto memohon maaf kepada Malaysia dan Singapura berhubung jerebu rentas sempadan yang menjejaskan kedua-dua negara, meskipun Indonesia giat berusaha menangani kebakaran berkenaan.

“Saya ingin memohon maaf kepada negara jiran, Malaysia dan Singapura, apabila kami berdepan kebakaran hutan yang sangat besar sehingga mengambil masa hampir empat bulan untuk dikawal.

“Jerebu akibat kebakaran itu merebak ke Malaysia dan Singapura,” kata beliau ketika sesi pleno Sidang Kemuncak ASEAN ke-49 di Manila, Filipina.

Kenyataan beliau dikongsikan menerusi saluran YouTube rasmi Sekretariat Presiden Indonesia pada lewat Ahad.

Prabowo berkata kerajaan Indonesia telah menggerakkan usaha untuk mengawal kebakaran itu, termasuk mengerahkan 71,000 anggota bomba.

Menurut beliau, seramai 16 anggota terkorban, ramai lagi cedera manakala operasi berkenaan turut mengakibatkan kehilangan dua buah helikopter.

Di sebalik kesukaran yang dihadapi, beliau berkata kebakaran berkenaan semakin terkawal, walaupun usaha pemadaman menjadi lebih mencabar akibat fenomena El Nino yang disifatkannya sebagai paling buruk dalam tempoh 50 tahun.

Mengenai tindakan penguatkuasaan, Prabowo berkata kerajaannya telah membatalkan 17 konsesi syarikat, manakala 26 syarikat sedang disiasat dan 11 lagi telah didakwa.

Beliau berkata sebanyak 23 syarikat lain turut disenaraikan untuk menghadapi pendakwaan, menjadikan keseluruhan 104 syarikat berada dalam siasatan polis.

“Sekali lagi, bagi pihak kerajaan dan rakyat Indonesia, kami memohon maaf sekiranya telah menyebabkan penderitaan kepada rakyat Singapura dan Malaysia,” kata beliau.

Sementara itu, Sekretariat Presiden dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa Indonesia turut merancang penubuhan sebuah agensi baharu serta memperkenalkan program-program bagi memperkukuh pencegahan kebakaran hutan secara sistematik, sekali gus memperluas pendekatan negara itu melangkaui usaha pemadaman dan mitigasi.–BERNAMA


Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DUNIA

To Top