Connect with us

ALHIJRAH NEWS

HELIKOPTER BOMBA TERBANGKAN ORGAN DARI JOHOR DEMI SELAMATKAN PESAKIT DI KUALA LUMPUR

DALAM NEGARA

HELIKOPTER BOMBA TERBANGKAN ORGAN DARI JOHOR DEMI SELAMATKAN PESAKIT DI KUALA LUMPUR

Demi memberi peluang kehidupan baharu kepada pesakit, helikopter AW139 milik JBPM digerakkan dalam misi kritikal membawa organ jantung, paru-paru dan hati dari Johor Bahru ke Subang sebelum dihantar ke Institut Jantung Negara (IJN). Pendermaan itu dilakukan dengan persetujuan keluarga seorang pesakit yang disahkan mengalami kematian otak.

SUBANG: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menggerakkan helikopter AW139 bagi mempercepat pemindahan organ pendermaan dari Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru ke Subang sebelum dihantar ke Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur, hari ini.

Misi penerbangan Medical Evacuation (MEDEVAC) itu melibatkan organ jantung, paru-paru dan hati yang didermakan selepas keluarga seorang pesakit yang disahkan mengalami kematian otak memberikan persetujuan.

Menurut JBPM, helikopter AW139 bernombor pendaftaran 9M-BOC dari Pangkalan Udara Wilayah Utara, Bertam ditugaskan bagi memastikan proses pemindahan organ dapat dilaksanakan dalam tempoh kritikal.

“Pendermaan berkenaan memberi peluang baharu kepada pesakit yang sedang menunggu pemindahan organ, manakala proses pengangkutan yang pantas amat penting bagi memastikan organ berkenaan kekal dalam keadaan optimum sebelum prosedur transplan dilakukan,” menurut kenyataan itu.

Pesawat berkenaan tiba di HSA pada pukul 9.22 pagi sebelum berlepas ke Institut Teknologi Penyelenggaraan Penerbangan Malaysia (MIAT), Subang pada pukul 10 pagi.

Helikopter itu selamat tiba pada pukul 11.45 pagi sebelum organ berkenaan dibawa menggunakan ambulans ke IJN bagi proses pemindahan seterusnya.

Penerbangan tersebut diketuai PPjB Sofian Ahmed bersama PgB Zulkhaire Zabidi dan dua anak kapal, selain membawa empat pegawai serta pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Sepanjang tahun ini, JBPM telah melaksanakan empat penerbangan pemindahan organ membabitkan keseluruhan 14.1 jam penerbangan dari Kelantan, Terengganu dan Johor.

Operasi itu merupakan sebahagian daripada kerjasama strategik JBPM dan KKM menerusi Nota Kerjasama yang ditandatangani pada 2023.

JBPM turut menganggotai Majlis Transplan Kebangsaan yang dipengerusikan Menteri Kesihatan serta berperanan sebagai penyedia perkhidmatan udara utama bagi menyokong operasi pemindahan organ di negara ini.

“Penggunaan aset udara JBPM dalam misi berkenaan membuktikan peranan agensi itu bukan sahaja tertumpu kepada operasi kebombaan dan penyelamatan, malah turut menjadi sebahagian daripada sokongan strategik kepada perkhidmatan kesihatan negara menerusi misi kemanusiaan,” menurut kenyataan sama. — AlHijrah Online.


Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Dari masyarakat, untuk masyarakat

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top