
PUTRAJAYA: Malaysia mengalu-alukan kehadiran dua tokoh ulama tersohor dunia, Al-Allamah Syeikh Prof Dr Ali Muhyiddin Al-Qaradhaghi dan Sheikh Prof Dr Usamah al-Sayyid al-Azhari sebagai tetamu rasmi negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berkata, kehadiran kedua-dua tokoh berkenaan merupakan penghormatan besar kepada Malaysia dalam memperkukuh kedudukannya sebagai pusat keilmuan Islam di persada antarabangsa.
Menurut dua kenyataan media berasingan hari ini, Ali Muhyiddin yang juga Presiden Kesatuan Ulama Islam Sedunia (IUMS) mengadakan lawatan rasmi bermula 23 hingga 30 November atas jemputan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan MADANI.
Tokoh Maal Hijrah Antarabangsa 1446H/2024M itu dijadualkan menyertai beberapa program strategik termasuk persidangan kewangan Islam, dialog kesatuan ummah, Majlis Ilmu MADANI di Kompleks Seri Perdana serta Himpunan Solidariti Palestin di Putrajaya.
“Penglibatan beliau bersama kepimpinan tertinggi negara, institusi akademik dan masyarakat akar umbi mencerminkan komitmen tegas Kerajaan MADANI dalam menyatukan kekuatan sarjana dan ummah bagi merangka solusi tuntas berasaskan kerangka Fiqh Al-Mizan demi kemaslahatan sejagat,” ujar beliau.
Sementara itu, Usamah yang merupakan Menteri Wakaf Republik Arab Mesir turut diraikan sebagai tetamu rasmi negara atas jemputan Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Negeri Pahang.
Beliau yang merupakan sarjana hadis terkemuka Universiti Al-Azhar memiliki sanad keilmuan tinggi serta pendokong manhaj kesederhanaan (wasatiyyah) Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Kehadirannya bersempena penganjuran Majlis Sama’ Hadis Jami’ al-Tirmidhi dan al-Syama’il al-Muhammadiyyah Peringkat Antarabangsa 2026 di Masjid Putra yang berlangsung dari 13 hingga 23 November, selain Majlis Sama’ Thulasiyyat Al-Bukhari Peringkat Antarabangsa di Kuantan, Pahang.
“Kehadiran tokoh ilmuwan berwibawa ini merupakan satu penghormatan besar yang memperkukuhkan lagi martabat Malaysia sebagai pusat pengembangan ilmu hadis dan tradisi keilmuan Islam yang tulen di rantau ini,” tambah Menteri Agama.
Sehubungan itu, Zulkifli menyeru umat Islam dan rakyat Malaysia memanfaatkan kehadiran tokoh berkenaan dalam usaha menyuburkan kecintaan masyarakat terhadap hadis dan sunnah Rasulullah SAW selain memperkukuh jaringan kesatuan penuntut serta pencinta ilmu dari seluruh dunia. — AlHijrah Online.