
Sumber: BERNAMA
KUALA LUMPUR: Malaysia merancang untuk menempatkan semula seramai 10,000 pelarian Rohingya di Turkiye sebagai sebahagian daripada usaha menangani cabaran berpanjangan melibatkan pencari suaka asing, yang majoritinya berasal dari Myanmar.
Pengumuman itu dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Jumaat, sehari selepas mahkamah tertinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam satu keputusan bersejarah memutuskan bahawa Myanmar telah melakukan jenayah genosid terhadap etnik minoriti berkenaan.
“Susulan lawatan kerja rasmi saya ke Republik Turkiye baru-baru ini, Jemaah Menteri telah bersetuju dengan cadangan untuk menempatkan semula 10,000 pelarian Rohingya dari Malaysia ke Turkiye menerusi satu program latihan kemahiran berstruktur.
“Saya mengemukakan cadangan ini sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan untuk menangani situasi pelarian Rohingya di Malaysia secara lebih tersusun, berkesan dan berperikemanusiaan,” katanya.
Menurut Ahmad Zahid, pelarian Rohingya terbabit akan menjalani program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Turkiye selama tiga hingga enam bulan.
Latihan tersebut akan memberi tumpuan kepada kemahiran praktikal yang mendapat permintaan tinggi dalam kalangan majikan merentasi pelbagai sektor industri di negara itu.
Ahmad Zahid, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing, berkata inisiatif itu juga selari dengan semangat penyelesaian jangka panjang oleh Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), khususnya melalui pendekatan penempatan semula di negara ketiga yang mengambil kira aspek keselamatan, perlindungan, maruah dan masa depan golongan pelarian.
“Penyelesaian isu pelarian tidak seharusnya hanya dilihat daripada perspektif penguatkuasaan dan penghantaran keluar semata-mata tetapi juga mesti mengambil kira dimensi kemanusiaan.
“Mereka bukan sekadar dipindahkan dari sebuah negara ke negara lain, sebaliknya diberikan ilmu, kemahiran dan peluang untuk membina masa depan yang lebih terjamin,” katanya.
Dalam masa yang sama, beliau berkata keputusan itu membuktikan kesungguhan kerajaan untuk mencari penyelesaian konkrit terhadap isu pelarian Rohingya dan pendekatan kerjasama strategik dengan negara ketiga seperti Turkiye mampu menjadi model baharu pengurusan pelarian yang lebih sistematik, mampan dan bermaruah.
Ahmad Zahid berkata kerajaan akan menyelaraskan pelaksanaan inisiatif itu bersama pihak berkuasa Turkiye, UNHCR serta agensi berkaitan bagi memastikan proses pemilihan, latihan, dokumentasi dan penempatan dilaksanakan secara teratur, dengan mengambil kira keperluan industri, persetujuan individu yang terlibat serta peraturan antarabangsa yang berkaitan.
“Usaha ini mencerminkan kepentingan hubungan diplomatik yang erat antara Malaysia dan Turkiye dalam menterjemahkan kerjasama dua hala kepada penyelesaian praktikal terhadap isu kemanusiaan yang turut memberi kesan kepada kepentingan negara,” katanya.
Berdasarkan data PBB, etnik Rohingya yang majoritinya beragama Islam membentuk dua pertiga daripada keseluruhan 190,000 pelarian dan pencari suaka dari Myanmar di Malaysia. – Alhijrah Online