
KUALA LUMPUR: Kerjasama Lembaga Tabung Haji (TH) dalam menyelaras pembayaran dam jemaah haji Malaysia bagi musim 1447H/2026M mendapat pengiktirafan kerajaan Arab Saudi menerusi Project Utilization of Hady & Adahi (Adahi).
TH dalam kenyataan hari ini memaklumkan pengiktirafan itu diberikan atas komitmen dan kerjasama erat dengan pihak Adahi, sebuah agensi di bawah seliaan The Royal Commission for Makkah City and Holy Sites, dalam memastikan pengurusan pembayaran dam dilaksanakan secara teratur, sistematik dan mematuhi ketetapan pihak berkuasa Arab Saudi.
“Bagi musim haji 1447H/2026M, kerajaan Arab Saudi memperkenalkan ketetapan baharu yang mewajibkan pembayaran dam diselesaikan sebelum jemaah berlepas ke Tanah Suci, berbanding amalan sebelum ini yang membolehkan bayaran dibuat ketika berada di sana, termasuk selepas selesai menunaikan ibadah haji.
“Selaras dengan keputusan Jawatankuasa Penasihat Ibadat Haji TH, buat kali pertama jemaah haji Malaysia yang mengerjakan haji Tamattu’ dan Qiran telah menjelaskan bayaran dam mengikut kadar semasa sebelum berlepas ke Tanah Suci pada musim haji yang lepas,” menurut kenyataan itu.
TH memaklumkan bahawa penyelarasan pembayaran lebih awal dengan kerjasama Adahi bukan sahaja memastikan proses pengurusan dam berjalan lancar, malah turut memudahkan urusan jemaah untuk memberikan tumpuan sepenuhnya kepada ibadah haji.
Kejayaan pelaksanaan itu mencerminkan komitmen agensi berkenaan dalam memastikan setiap perubahan ketetapan dan keperluan pengurusan haji oleh pihak berkuasa Arab Saudi dapat dilaksanakan dengan berkesan demi menjaga kebajikan jemaah Malaysia.
“Adahi bertanggungjawab menyelaras pelaksanaan ibadah korban, dam, fidyah, sedekah dan akikah di Tanah Suci, termasuk pengurusan penyembelihan di tujuh kompleks pemprosesan bersepadu di Makkah sebelum hasil sembelihan diproses dan diagihkan kepada golongan yang layak di lebih 27 negara,” menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, TH menasihati bakal jemaah haji musim 1448H/2027M yang mengerjakan haji Tamattu’ dan Qiran supaya membuat persediaan kewangan lebih awal bagi menjelaskan bayaran dam sebelum berlepas ke Tanah Suci.
Langkah itu penting bagi memastikan mereka mematuhi ketetapan kerajaan Arab Saudi, sekali gus melancarkan urusan ibadah dan membolehkan jemaah menunaikan haji dengan lebih tenang dan teratur. — AlHijrah Online.