Connect with us

ALHIJRAH NEWS

TARIF AIR RAKYAT TIDAK AKAN NAIK DEMI PUSAT DATA

DALAM NEGARA

TARIF AIR RAKYAT TIDAK AKAN NAIK DEMI PUSAT DATA

Kerajaan memberi jaminan tarif air domestik tidak akan dinaikkan semata-mata untuk memenuhi keperluan pusat data, malah pelaburan baharu boleh ditolak sekiranya menjejaskan kecukupan bekalan air rakyat.

KUALA LUMPUR: Kerajaan memberi jaminan tarif air domestik tidak akan dinaikkan semata-mata bagi menampung keperluan industri pusat data di negara ini.

Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, kerajaan juga tidak akan membebankan rakyat dengan kenaikan tarif elektrik bagi tujuan berkenaan.

Menurutnya, kemasukan pelaburan pusat data akan dinilai secara teliti supaya keperluan bekalan asas rakyat termasuk air kekal menjadi keutamaan.

“Walaupun ia pelaburan yang besar kepada negara, tetapi kita tetap menolak sekiranya berlaku ketidakcukupan air di negara kita ini, dan perkara ini yang diteliti oleh pasukan petugas khas pusat data kita.

“Kajian penuh akan dilakukan di mana-mana lokasi yang dicadang untuk pembinaan pusat data itu termasuklah melalui jawatankuasa teknikal dan jawatankuasa penyelaras pembangunan pusat data peringkat negara dan peringkat negeri,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Abdul Rahman berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik (PH-Balik Pulau) mengenai langkah kerajaan memastikan pertumbuhan pesat industri pusat data tidak menjejaskan kecukupan bekalan air negara.

Beliau berkata, kerajaan kini menumpukan penggunaan sumber air alternatif seperti air pulih guna, air kitar semula dan sistem penuaian air hujan bagi tujuan penyejukan pusat data.

Langkah itu penting bagi menyokong perkembangan industri berkenaan tanpa menjejaskan bekalan air untuk kegunaan rakyat.

“Sebab itu melalui kerjasama kita, antaranya ialah Indah Water Konsortium dan Johor Special Water (JSW) yang membekalkan sehingga 12 juta liter air pulih guna berkualiti tinggi setiap hari bagi kegunaan sistem penyejukan pusat data di negeri Johor.

“Dan, sehingga kini terdapat empat buah loji rawatan air pulih guna di Semenanjung Malaysia yang telah bekalkan air kepada pusat data dengan kapasiti yang agak tinggi, iaitu hingga 19.5 juta liter sehari,” katanya.

Abdul Rahman berkata, kerajaan mengiktiraf industri pusat data sebagai antara pemacu pertumbuhan ekonomi digital negara namun pembangunannya perlu terus memberi manfaat kepada negara dan negeri yang terlibat. — AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Dari masyarakat, untuk masyarakat

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top