
MARAN: Seramai 2,134 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2026 di Pahang dikenal pasti berisiko terjejas akibat banjir dengan Kuantan mencatat jumlah tertinggi iaitu 697 calon.
Pengarah Pendidikan Pahang, Datuk Ahmad Zamri Md Isa berkata, jumlah itu melibatkan 1,000 calon lelaki dan 1,134 calon perempuan berdasarkan pemantauan menerusi sistem dalam talian Dashboard Ops Payung yang dibangunkan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pahang.
“Bagi memastikan keselamatan dan kebajikan calon serta petugas peperiksaan, JPN Pahang turut mengaktifkan mekanisme tindak balas bersepadu bersama dengan agensi keselamatan dan kesihatan.
“Selain itu, pusat peperiksaan dibahagikan kepada 65 kelompok di seluruh negeri, bagi memudahkan kawalan ketika menghadapi banjir,” katanya selepas melawat Sekolah Menengah Kebangsaan Maran di Kampung Berkat, hari ini.
Selain Kuantan, Temerloh merekodkan 418 calon berisiko terjejas, diikuti Maran (246), Lipis (175), Jerantut (135), Pekan (114), Rompin (107), Bentong (90), Bera (73), Raub (43) dan Cameron Highlands (36).
Ahmad Zamri berkata, kesiapsiagaan JPN Pahang bukan sahaja tertumpu kepada banjir, malah turut merangkumi Operasi Topeng bagi menghadapi jerebu, Operasi Gempa untuk bencana alam seperti gempa bumi serta Operasi Wabak bagi menangani penularan penyakit berjangkit.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan calon yang terlibat atau terkesan dengan sebarang bencana supaya segera memaklumkan keadaan masing-masing kepada pihak sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) atau JPN bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil. — AlHijrah Online