
KOTA BHARU: Seorang lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Rendah Syariah atas pertuduhan beraksi dan berpakaian seperti perempuan dengan memakai pakaian wanita di pejabat agama, tahun lepas.
Tertuduh, Khairul Izwan Sidi Ahmad, 25 tahun, yang merupakan seorang peniaga dalam talian mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Wan Mohd. Firdaus W. Ibrahim.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan perbuatan itu dengan memakai baju-T slim fit, seluar dalam dan berselipar wanita di Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEAIK) pada jam 2.35 petang, 9 November 2025.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 19(1) Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Syarie Kelantan Syafika Mat Husin dengan dibantu Ezarihan Mat sementara itu Izwan diwakili peguam syarie Muhammad Syarafi Mohd Salleh dan Mohd Faqqhurudin Mohd Nasir.
Sebelum ini, Syafika mencadangkan jaminan sebanyak RM1,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh, namun peguam tertuduh memohon jumlah itu dikurangkan kepada RM500 atas faktor tertuduh memegang kad OKU, selain sedang menyara keluarga.
“Tertuduh merupakan seorang OKU dan kami mempunyai maklumat mengenai status tersebut selain perlu menanggung bil elektrik kediaman keluarga sebanyak lebih RM400 sekali gus menjadi komitmen bulanannya,” katanya.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM1,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 1 Disember untuk sebutan semula kes. –AlHijrah Online