Connect with us

ALHIJRAH NEWS

PENUAAN SIHAT BUKAN HANYA UNTUK GOLONGAN KAYA – SULTAN NAZRIN

UTAMA

PENUAAN SIHAT BUKAN HANYA UNTUK GOLONGAN KAYA – SULTAN NAZRIN

Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menegaskan penuaan sihat tidak seharusnya menjadi keistimewaan golongan kaya, sebaliknya perlu dinikmati semua lapisan masyarakat demi menjamin kesejahteraan warga emas.

KUALA LUMPUR: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, usaha membangunkan ekonomi perak (silver economy) perlu berpaksikan keterangkuman sosial supaya manfaat peningkatan jangka hayat dapat dinikmati semua lapisan masyarakat tanpa mengira kedudukan ekonomi.

Baginda menegaskan, pembangunan ekonomi berteraskan populasi menua tidak seharusnya dilihat semata-mata sebagai peluang pasaran, sebaliknya perlu menjamin kesejahteraan dan maruah warga emas.

“Penuaan sihat tidak boleh menjadi komoditi yang hanya mampu dinikmati oleh golongan berkemampuan. Keupayaan untuk meniti usia tua dengan sihat, bermaruah dan mempunyai tujuan hidup tidak seharusnya ditentukan oleh kekayaan.

“Sesebuah masyarakat akhirnya dinilai berdasarkan sejauh mana peluang yang diwujudkannya dapat dinikmati oleh golongan paling rentan,” titah baginda pada High-Level Forum on the Silver Economy 2026: Healthy Longevity for Economic Growth, hari ini

Mengulas tahap kesihatan warga emas di Malaysia, Sultan Nazrin menzahirkan kebimbangan terhadap dapatan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2025 yang menunjukkan hanya 14.7 peratus rakyat Malaysia berusia 60 tahun ke atas memenuhi kriteria penuaan sejahtera.

Angka itu memperlihatkan jurang ketara antara peningkatan jangka hayat dengan tempoh kehidupan yang dilalui dalam keadaan sihat.

Justeru, pendekatan penjagaan warga emas perlu bermula lebih awal dengan mengintegrasikan aspek perumahan, kesihatan, keselamatan kewangan dan teknologi bagi membolehkan mereka terus menjalani kehidupan secara aktif dan berdikari.

Dalam pada itu, baginda turut mengingatkan bahawa peningkatan populasi warga emas bukan semata-mata beban kewangan kepada negara, sebaliknya berpotensi menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi.

“Melihat populasi menua semata-mata menerusi sudut perbelanjaan bermakna kita mengabaikan nilai besar modal sosial dan modal insan yang dapat dipelihara melalui penuaan yang lebih sihat,” titah baginda.

Baginda merujuk analisis yang dipetik dalam Rangka Kerja Strategik Penjagaan Malaysia yang menunjukkan setiap RM1 dilaburkan dalam sektor penjagaan berpotensi menjana pulangan ekonomi lebih luas sebanyak RM7 melalui pertumbuhan, peluang pekerjaan dan peningkatan pendapatan.

Sultan Nazrin turut mengingatkan bahawa negara ASEAN berdepan cabaran perubahan demografi yang lebih pantas berbanding negara maju, dengan sebahagian besar negara di rantau ini mengalami penuaan penduduk sebelum mencapai tahap kekayaan yang tinggi.

Sehubungan itu, baginda menyeru supaya dasar dan infrastruktur masa depan dirancang secara bersepadu dengan meletakkan keperluan manusia sebagai keutamaan, sekali gus memastikan warga emas tidak dipinggirkan daripada pembangunan negara. — AlHijrah Online.


Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Dari masyarakat, untuk masyarakat

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in UTAMA

To Top