Connect with us

ALHIJRAH NEWS

TRUMP PERTAHAN TERUSKAN PERANG IRAN WALAU REPUBLIKAN KALAH PILIHAN RAYA

DUNIA

TRUMP PERTAHAN TERUSKAN PERANG IRAN WALAU REPUBLIKAN KALAH PILIHAN RAYA

Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mempertahankan keputusan untuk melancarkan dan meneruskan kempen ketenteraan itu dengan menegaskan bahawa tindakan berkenaan perlu bagi menghalang Iran daripada memiliki senjata nuklear.

Sumber Gambar: AFP

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Rabu menyifatkan perang di Iran sebagai tindakan yang berbaloi meskipun terpaksa menanggung kesan politik dan ekonomi susulan kekalahan Parti Republikan dalam pilihan raya pertengahan penggal.

Beliau menegaskan bahawa AS “tiada pilihan” selain mengambil tindakan ketenteraan bagi menghalang Tehran daripada memperoleh senjata nuklear, lapor Anadolu Ajansi.

Ketika ditanya sama ada beliau berpendapat konflik itu berbaloi, Trump menjawab: “Ya, saya rasa begitu. Maksud saya, kita tiada pilihan.”

“Kita terpaksa mengambil tindakan terhadap Iran dan tindakan itu masih diteruskan,” kata beliau.

Ketika diminta mengulas pandangan Naib Presiden JD Vance bahawa perang di Iran menyumbang kepada kekalahan Parti Republikan, Trump bersetuju sambil mengakui konflik itu menyebabkan kenaikan harga petrol dalam jangka pendek.

“Saya rasa perkara itu sebahagian besarnya benar kerana perang itu menyebabkan harga petrol meningkat,” kata Trump.

Bagaimanapun, beliau mempertahankan keputusan untuk melancarkan dan meneruskan kempen ketenteraan itu dengan menegaskan bahawa tindakan berkenaan perlu bagi menghalang Iran daripada memiliki senjata nuklear.

“Pada masa sama, jika saya perlu melakukannya sekali lagi, saya tetap akan berbuat demikian kerana dalam jangka panjang, itulah satu-satunya penyelesaian. Kita tidak boleh membiarkan Iran memiliki senjata nuklear,” kata beliau.

Terdahulu pada Rabu, Vance mengaitkan kekalahan Parti Republikan dalam pilihan raya pertengahan penggal dengan perang menentang Iran, sambil menyatakan bahawa kemarahan pengundi terhadap konflik itu mendorong bekas penyokong Trump beralih menyokong Parti Demokrat.

“Punca kita kalah ialah perang,” tulis Vance dalam satu kenyataan menerusi platform media sosial X. — AlHijrah Online.


Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DUNIA

To Top