
SHAH ALAM: Pencipta kandungan digital, Isa Isarb mendedahkan dirinya ditahan pihak berkuasa Indonesia baru-baru ini selepas disyaki sebagai perisik dari Malaysia selain didakwa menyalahgunakan visa pelancong ketika berada di negara itu.
Isa berkata, dia dan pasukannya pada awalnya ke Indonesia bagi menjalankan penggambaran dokumentari mengenai jerebu.
Menurutnya, ketika dalam perjalanan ke kawasan hutan terbakar, mereka terlihat sekumpulan orang ramai berkumpul di lokasi demonstrasi sebelum singgah untuk menemu bual beberapa individu di situ.
Bagaimanapun, situasi berubah apabila mereka didatangi kira-kira 10 hingga 15 pegawai Indonesia sebelum ditahan atas dakwaan menyalahgunakan visa pelancong.
“Kami kemudian ditahan atas kesalahan menyalahgunakan visa pelancong. Menurut penjelasan diberikan, visa tersebut tidak membenarkan kami membuat penggambaran atau berada di lokasi demonstrasi,” katanya dalam satu kenyataan.
Isa berkata, ketika disoal siasat di balai polis, dia diminta membuka telefon bimbit dan menjelaskan tujuan sebenar kedatangannya ke Indonesia.
Beliau dan pasukannya kemudian bermalam di lokap selepas memberikan kerjasama penuh sepanjang proses siasatan.
Menurut Isa, keadaan menjadi lebih serius pada keesokan harinya apabila dia dituduh sebagai perisik susulan penemuan beberapa perbualan antara dirinya dengan ahli politik Malaysia.
Katanya, perbualan berkenaan melibatkan pasukan Timbalan Perdana Menteri, Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman serta Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.
Bagaimanapun, Isa menjelaskan semua perbualan itu hanya berkaitan jemputan untuk sesi temu bual bagi dokumentari jerebu yang sedang dirakam.
Jemputan ke Parlimen Malaysia pada minggu sama turut menimbulkan persoalan ketika soal siasat, namun Isa berkata kunjungan berkenaan hanya bertujuan menjalankan sesi temu bual.
Isa berkata, sepanjang enam hari berikutnya, dia dan pasukannya berdepan proses soal siasat setiap hari sehingga menimbulkan tekanan dan ketakutan.
Beliau turut mendakwa mengalami serangan panik selama beberapa malam selain merindui anak dan isteri serta bimbang terhadap kemungkinan dikenakan hukuman di Indonesia.
“Alhamdulillah, berkat hubungan baik antara kerajaan Indonesia dengan Malaysia, kami akhirnya berjaya dibawa pulang.
“Jutaan terima kasih kepada kerajaan Indonesia atas layanan yang adil sepanjang siasatan serta kerajaan Malaysia yang tidak melepaskan tangan kami ketika memerlukan bantuan,” katanya.
Isa memaklumkan dokumentari berkenaan dirancang untuk dimuat naik di saluran YouTube Isa Isarb pada 16 November ini selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.
Menurutnya, pengalaman itu akan dikongsikan dengan lebih terperinci sebagai iktibar namun beliau tidak mahu kisah tersebut dijadikan bahan kempen atau digunakan bagi kepentingan mana-mana pihak menjelang hari pengundian PRN Melaka pada 14 November. — AlHijrah Online