Connect with us

ALHIJRAH NEWS

PRN SARAWAK: 168 CALON SAH BERTANDING, 29 KERUSI MENANG TANPA BERTANDING

DALAM NEGARA

PRN SARAWAK: 168 CALON SAH BERTANDING, 29 KERUSI MENANG TANPA BERTANDING

29 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi tanpa bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 hari ini, mencatat rekod tertinggi setakat ini, mengatasi catatan 19 kerusi pada PRN Sarawak 1996.

KUCHING: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini mengesahkan sebanyak 168 calon mewakili pelbagai parti dan gabungan politik serta calon Bebas, layak bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13, 12 Dis ini.

Pengerusi SPR Datuk Seri Ramlan Harun berkata 29 kerusi daripada keseluruhan 82 kerusi DUN telah dimenangi tanpa bertanding oleh calon Gabungan Parti Sarawak (GPS), selepas proses penamaan calon ditutup pada 10 pagi tadi.

“Proses penamaan calon bagi PRN Sarawak yang ke-13 berlangsung di 82 pusat penamaan calon di seluruh negeri bermula 9 pagi dan ditutup pada 10 pagi tadi,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata GPS meletakkan calon di kesemua 82 kerusi, diikuti Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) (29), Parti Bumi Kenyalang (PBK) (17), DAP (14), Parti Bangsa Malaysia (PBM) (tiga), Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi) (satu) dan calon Bebas (22), manakala tiada kertas pencalonan yang ditolak.

Ramlan berkata daripada 53 kerusi yang menyaksikan pertandingan, sebanyak 29 kerusi melibatkan pertandingan satu lawan satu, 15 kerusi (tiga penjuru) dan sembilan kerusi (empat penjuru).

“Dari segi pecahan jantina, sebanyak 154 calon lelaki dan 14 calon wanita disahkan bertanding pada pilihan raya negeri kali ini,” katanya. 

Bagi kategori umur pula, Ramlan berkata calon tertua berusia 78 tahun iaitu John Antau Linggang daripada PBDS yang bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Krian, manakala calon termuda berusia 24 tahun iaitu Irene Wong Lee Ting daripada DAP di DUN Pelawan.

Proses penamaan calon berlangsung serentak di 82 pusat penamaan calon di seluruh negeri bermula 9 pagi dan ditutup sejam kemudian.

Sementara itu, 29 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi tanpa bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 hari ini, mencatat rekod tertinggi setakat ini, mengatasi catatan 19 kerusi pada PRN Sarawak 1996.

Ramlan berkata perkembangan itu, merupakan sebahagian daripada proses demokrasi berikutan hanya satu kertas penamaan diterima di 29 pusat penamaan calon, selepas proses berkenaan ditutup pada 10 pagi.

“Sebelum ini pada tahun 1996, jumlah yang menang tanpa bertanding sebanyak 19 (kerusi) dan kali ini 29 (kerusi). Jadi ini merupakan yang terbanyak setakat ini.

“Siapa yang hendak bertanding dan tidak bertanding, bagi pihak SPR, kami cuma menyediakan gelanggang,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Kesemua 29 kerusi DUN tanpa bertanding itu dimenangi Gabungan Parti Sarawak (GPS), iaitu Tanjung Datu, Pantai Damai, Demak Laut, Tupong, Samariang, Satok, Asajaya, Muara Tuang, Sadong Jaya, Simunjan, Gedong dan Sebuyau.

Turut dimenangi tanpa bertanding oleh GPS ialah kerusi DUN Lingga, Beting Maro, Engkilili, Saribas, Layar, Bukit Saban, Kuala Rajang, Semop, Daro, Repok, Dalat, Tellian, Katibas, Bukit Goram, Bekenu, Lambir dan Bukit Sari.

Dalam pada itu, Ramlan berkata SPR masih belum menilai jumlah penjimatan atau pelarasan susulan 29 kerusi berkenaan tidak melibatkan proses pengundian dan perkara tersebut akan diselaraskan dalam tempoh terdekat.

Beliau berkata berikutan perkembangan itu, sebanyak 632,149 pengundi berdaftar di 29 kawasan DUN yang dimenangi tanpa bertanding itu, tidak perlu keluar mengundi pada PRN kali ini pada 12 Dis.

“Berdasarkan perkiraan kita, 29 kerusi terbabit melibatkan kira-kira 30.71 peratus daripada keseluruhan 2.06 juta pengundi berdaftar di negeri Sarawak,” katanya.–AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top