
Sumber Gambar: BERNAMA
KUALA LUMPUR: Selepas lebih dua dekad Universiti Kuala Lumpur (UniKL) diterajui Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, legasi kepimpinan itu kini diteruskan anakanda baginda, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Istiadat pemasyhuran Tengku Hassanal sebagai Canselor baharu UniKL berlangsung pada Majlis Konvokesyen Ke-23 universiti itu di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, pada 21 November lalu.
Dalam titah penerimaan, baginda menggariskan lima keutamaan dalam menentukan hala tuju universiti itu, meliputi pemerkasaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), kerjasama industri, keusahawanan teknologi, pembentukan sahsiah graduan serta kelestarian.
“Beta menerima jawatan ini bukan semata-mata sebagai satu penghormatan, tetapi sebagai satu tanggungjawab besar terhadap masa depan generasi muda negara,” titah baginda.
Tengku Hassanal turut menyeru UniKL memastikan program akademik, latihan dan penyelidikannya kekal relevan seiring perkembangan pesat kecerdasan buatan (AI), automasi, tenaga boleh baharu dan ekonomi digital.
Majlis bersejarah itu turut menyaksikan Sultan Pahang dikurniakan Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan, pengiktirafan tertinggi UniKL atas sumbangan baginda sebagai Canselor pertama universiti berkenaan.
Tempoh perkhidmatan baginda selama 21 tahun, satu bulan dan 21 hari bermula 1 Julai 2004 turut mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai Canselor Diraja paling lama berkhidmat di sebuah institusi pengajian tinggi swasta.
Sepanjang kepimpinan baginda, UniKL berkembang menjadi sebuah universiti teknikal berorientasikan industri yang kini mempunyai 12 kampus di seluruh negara dengan 162 program akademik melibatkan 38,338 pelajar.
Sementara itu, majlis konvokesyen yang berlangsung dalam 11 sesi dari 21 hingga 26 November itu meraikan 8,147 graduan, termasuk 64 graduan Program Teknologis Huffaz.
Antara 33 graduan cemerlang yang menerima pengiktirafan ialah Nur Syuhada Rosli, penerima Anugerah Khas Ulul Albab yang berjaya menghafaz 30 juzuk al-Quran sambil mengikuti pengajian dalam bidang teknologi kejuruteraan telekomunikasi.
UniKL turut menganugerahkan gelaran Profesor Emeritus kepada bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Prof Datuk Dr Abdul Hakim Juri, yang menerajui universiti itu dari September 2005 hingga Januari 2013.
Turut berangkat pada majlis itu ialah Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, manakala antara yang hadir ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang juga Pro-Canselor UniKL. — AlHijrah Online